Monday 2 April 2012

Cerpen : Ku Ingin Milikimu

BIBIR ini menguntum senyum lagi. Tetikus aku larikan sedikit hendak menatap pesanan yang baru saja aku terima. Sambil menongkat dagu, aku lebarkan senyuman. Entah mengapa, setiap kali nama itu muncul pada skrin di sebuah laman sosial ini, detak hati ini mula beralun indah.
Cinta? Terlalu awal hendak aku akuinya biarpun debar hatiku pantas kerana sepotong namanya. Tetikus aku tekan pada tanda merah itu. Ternyata dia dan hanya dia.
Cik Ann Rahana saya dah makan? Jangan tak makan tau… bagi berisi pun
tak apa. Janji hati senang.
Itulah pesanan yang aku ulang baca berkali-kali. Dia selalu begini. Suka mengatakan aku adalah hak miliknya biarpun aku tak pernah akui itu. Bagiku, aku adalah milik ramai. Milik peminat yang tak pernah jemu menatap bait-bait garapan nukilanku yang tidak seberapa di dalam dunia blogger.
Aku pandang tarikh pertama kali dia menghantar pesanan buatku. Sudah hampir beberapa bulan rasanya. Terlalu pantas masa berlalu namun kami, hanya begini. Tidak pernah maju dalam persahabatan. Tanpa panggilan, jauh sekali pertemuan, aku selesa begini dengan mengekalkan status aku sebagai satu rahsia.
Saya dah makan. Jangan risaukan saya ya Cik Mukhlis. Take care.
Aku tekan ENTER dan ketawa sendiri. Sengaja aku usik emosinya dengan memanggil dia Cik.
Cik Ann Rahana boleh tak jangan panggil saya cik… saya dok intai seluar saya ni…
Kot-kot dah bertukar jadi skirt.
Itulah pesanan balas yang aku terima tidak lama kemudian. Aku hanya tersenyum sendiri sambil menggeleng kecil. Lucu dengan sikap lelaki ini. Entah dari mana, entah siapa dan bagaimanakah parasnya, dia menjadi salah seorang peminat padaku. Seorang penulis alam maya yang terlalu misteri pada semua.
Jemari ini rapat pada papan kekunci. Aku tarikan sepuluh jariku untuk membalas pesanannya itu.
Ops..maaf-maaf. Lain kali tak buat lagi. Saya ada hal ni… awak jaga diri.
Tidak lama kemudian, dia membalas lagi.
Maaf diterima. Awak ni baiklah pada saya. Tak pernah ada orang cakap jaga diri pada saya. Awaklah yang pertama kali nya. Tapi, kenapa awak jadi penulis ya? Kalau tidak, senang je, kan ? Saya tak suka share awak dengan peminat awak yang lain… saya kedekut!
Aku terkedu sendiri. Jemari ini kaku hendak membalas pesanannya. Entah mengapa,
aku bagaikan merasakan sesuatu di dalam luahannya itu. Menulis adalah hidupku. Hanya satu-satunya perkara yang aku mahu lakukan.
Mungkin tidak sehebat orang lain, tapi harus aku akui ini sajalah perkara yang mampu membuatkan aku tersenyum sepanjang masa. Menangis sendiri kala menggarap sebuah cerita yang pilu, tertawa kecil kala menyiapkan kisah yang lucu.
Kalau awak nak saya, awak kena sharelah saya dengan semua orang yang suka saya sebab menulis tu memang hidup saya. Got to go…
Aku matikan laman sosial tersebut lantas aku bangkit bila temanku, Sarina sudah berdiri tegak di depan pintu hendak mengajak aku makan tengah hari.
“Dari tadi, aku tengok kau tersenyum je? Kau sembang dengan siapa? Dengan mamat tu lagi?” tanya dia memerli.
Aku tidak menjawab terlebih dahulu, sebaliknya aku tarik daun pintu dan menguncinya. Tugasku di sini tidaklah sehebat Sarina, seorang Jurutera tapi aku adalah pengendali kepada semua urusan ketua kami kerana aku adalah seorang setiausaha yang menjadi seorang penulis separuh masa.
“Mukhlis, ya?” tebak Sarina lagi.
Aku memandang wajahnya dengan langkah kaki yang maju ke arah lif. Setelah seketika, aku mengangguk.
“Kau tak kenal dia lagi, kan ?”
“Belum lagi. Tapi, dia ada cerita hal diri dia pada aku. Dia siapa? Keluarga dia macam mana? Umur dia berapa?” jawabku.
Fikiran ini terus menerawang mengingati di awal-awal perkenalan kami sekadar atas dasar penulis dan pembaca saja. Entah mengapa, soalan pertamanya itu benar-benar membuatkan aku terkedu.
Siapakah watak cerita itu padaku? Bagaimana dia dapat merasakan watak teraniaya itu adalah aku? Aku sendiri tidak mengerti. Bagiku, setiap watak yang aku garapkan, semuanya dekat di hati. Mereka milikku. Mereka adalah hasil perahan idea aku dan sudah pastinya akulah yang paling dekat dengan watak itu semua.
“Dia pun tak kenal kau siapa lagi, kan ?” Soalan Sarina membawa aku memandang wajahnya. Hilang pesanan Mukhlis dulu.
Aku menggeleng. “Aku memang tak berniat nak reveal siapa aku sebenarnya, Ina. Memang aku tak nak.”
“Kau ni peliklah, Ana… Dah ramai peminat ikut cerita-cerita yang kau tulis. Aku tengok, setiap hari ada je orang orang like Fan Page kau. Blog kau tu, ada je bertambah followers. Peminat kau tu semua tak demand ke, nak kenal kau?” Sarina memandang aku pelik.
“Err… aku memang tak bolehlah. Aku lebih suka jadi Ann Rahana daripada pada mereka semua daripada aku jadi Anahara Rahman. Aku memang tak nak.” AKu geleng beberapa kali.
Bila buku pertama aku bakal dilancarkan, Sarina sendiri kerap usulkan hal ini. Katanya, sebagai pembaca dia ingin tahu siapakah wajah di sebalik karya itu tapi bagi aku, aku dikenali sebagai Ann Rahana dan bukan Anahara Rahman. Biarlah nama pena itu kekal kepada mereka.
“Masalahnya, Ann Rahana dengan Anahara Rahman tu orang yang sama, kan ?”
“Memang jasad yang sama, Ina. Tapi, kau tahu kan jiwa berbeza. Kau tahu aku macam mana bila bersama kawan-kawan ni dan macam mana aku sebagai Ann Rahana. Aku tak nak kehidupan peribadi aku meniti kat mulut sesiapa dan aku yakin, pembaca aku akan hormat pada keputusan aku ni,” jawabku membela diri.
Sarina mengeluh. Dia menyilangkan tangannya ke dada.
“Okeylah. Katalah semua orang boleh terima, tapi peminat kau bernama Mohd Mukhlis tu nak terima ke? Kan dia dah cakap, dia akan cari kau sampai dapat,” ucapnya risau.
Aku gariskan senyuman. “Jangan risaulah, Ina. Dia tak akan jumpa aku dan aku yakin sangat dia tak akan cari aku. Aku tahu dia bergurau je selama ni dan aku boleh terima dia sebagai salah seorang peminat aku je.”
“Hii… payah betullah penulis kedekut hal peribadi ni,” cemik Sarina dan aku hanya ketawa.
Serentak itu pintu lif ternganga lebar. Aku dan Sarina sama-sama menapak ke dalam lif.
“Tapi kan , Ana… aku dapat rasalah… dia akan cari kau sampai dapat. Jarang ada lelaki macam ni tau. Kalau kata dia jumpa kau, masa tu kau nak buat apa? Nak-nak pulak dia tu handsome, anak orang kaya, bawa kereta besar? Apa kau nak buat?” bisik Sarina dekat di cuping telingaku.
Aku jeling pada dia. Wajah itu tersengih dengan kening yang terjungkit beberapa kali.
“Aku sign buku dia, then aku blah. Senang!” jawabku sinis.
“Kau ni… aku suruh kau bayang je.”
“Aku tak nak bayanglah. Bukan aku tahu rupa dia macam mana pun. Tapi, aku tahu dia memang anak orang kaya. Dari cara dia tu boleh tahu. Aku kan penulis,” selaku.
“Entah-entah dia anak Tan Sri ke, Dato’ Seri ke? Rugi kau nanti.”
Eh perempuan ni. Jauh sungguh dia berjalan. Terlalu luas dia cernakan otaknya sampai ke situ dia berfikir sedangkan aku sendiri tidak kenal akan lelaki itu. Entah wujud entah tidak, entah baik entah jahat.
“Seri ke tak berseri ke, aku tak naklah get hooked dengan orang-orang loaded ni, Ina. Dia nak minat aku silakan tapi jangan sampai dia jatuh cinta pada aku. Jangankan jatuh cinta, suka pun tak boleh,” tekanku pada Sarina.
Dia ketawa halus. “Tapi, kalau kau yang jatuh cinta pada dia, macam mana?”
Pertanyaan itu membuatkan aku tersentap sendiri. Aku pandang wajah yang sedang ketawa itu. Kali ini, rasa lain macam bila Sarina bertanya demikian. Sungguh barangkali, entah bagaimana andai aku juga mempunyai perasaan lain pada dia sedangkan kami tidak pernah bersua.
“Eh, tak mungkinlah. Hati aku ni milik aku. Aku serahkan pada Tuhan sebab Dia Maha Mengetahui segalanya.” Aku memberikan jawapan mati pada dia.
Sarina ketawa lagi. “Dan aku harap, Tuhan berikan teman hati yang terbaik untuk kau sebab aku yakin, kau mesti rasa sesuatu pada dia, kan ? Andai tidak, senyum kau tak lebar macam ni la setiap kali kau terima pesanan dia biarpun dalam emel dan nama itu tak mungkin kau nak sebut setiap hari, kan ?”
Aku siku Sarina sekuat hati. Mujur dia sempat mengelak. Andai tidak, aku pasti dia akan memohon cuti kecemasan dek penangan siku aku ni.
“Minta simpang, okey. Hati aku milik peminat aku. Kalau dia nak hati aku ni, dia kena share. Titik!” tekanku dan terus saja aku melangkah keluar bila pintu lif terbuka di tingkat tiga.
Aku terus melangkah membawa wajahku yang terlalu canggung kala ini. Bawa lari daripada pandangan mata Sarina. Risau andai dia menebak berlebihan dan aku tidak mampu menepis.
Inilah aku, mudah memujuk orang hanya dengan beberapa baris ayat, namun diri sendiri terlalu sukar hendak aku pujuk kerana sekeping hati aku ini terlalu keras hendak aku lentur.
***
MALAM-MALAM begini, aku selesa melayan pembaca di fan page. Melewati blog sendiri. Mengemaskini cerita-cerita baru yang sempat aku garapkan dan kemudian, melayan komen-komen pembaca yang terdiri dari pelbagai luahan. Ada ramai yang suka dan tak kurang juga yang memberi kritikan.
Sebagai penulis, aku perlu berjiwa terbuka. Segala teguran membina aku kutip dan segala kritikan buruk, aku abaikan saja. Jenuh juga otak hendak mencerna idea baru bagi menyudahkan tugasan kedua yang perlu dihantar sikit masa lagi.
Andai di pejabat, aku jarang benar menulis cerita kerana tugasan itu sendiri mengajar aku erti amanah pada waktu dan tanggungjawab. Mungkin ada masa itu namun aku akan pastikan tiada kerja tertangguh tapi hari ini, aku benar-benar buntu. Sepatah ayat pun tak mampu aku lakarkan.
Baru saja hendak mematikan komputer, mata ini tertangkap pada tanda merah di atas sebelah kiri komputer aku ni. Hati ini kuat mengatakan dia dan serentak itu, bibirku menguntum senyum bila nama itu benar-benar hadir lagi.
Ann, saya nak tahu… apa perasaan awak pada saya.
Kelu aku hendak menjawab soalan itu. Sejak akhir-akhir ini, Mukhlis kerap bertanya soalan yang pelik-pelik membuatkan aku sendiri keliru.
Mukhlis, saya suka semua peminat saya tapi kalau awak rasa awak suka saya lebih
dari seorang peminat atau juga mungkin awak rasa awak dah jatuh cinta pada saya,
saya yakin, hati awak tu keliru. Serah pada Tuhan, nanti awak akan temui jawapan.
Kali ini, lama pula Mukhlis membalas. Aku resah sendiri. Tidak pernah-pernah begini. Sudahlah sepatah ayat tak mampu aku garap, kini dihambat soalan membunuh begini. Tidak lama kemudian, dia membalas. Mataku tenang menatapnya tapi hentakan di dada tidak setenang mana. Ada resah yang mula hadir, ada takut yang mula memburu.
Saya dah kemaskan perasaan saya pada awak Ann Rahana… Saya memang suka
Malah saya jatuh cinta pada awak. Pelik, kan? Tanpa tahu rupa awak, tanpa saya
tahu nama betul awak, saya macam ni sedangkan saya tak mampu nak jatuh cinta.
Apatah lagi awak seorang penulis, ada ramai peminat dan saya hanyalah salah seorang daripada peminat awak saja.
Sungguh kata Sarina. Dia jatuh cinta padaku yang tidak pernah dia ke temui. Aku bawa telapak tangaku ke dada kiri. Aku pujuk jantung itu agar tidak terlalu gundah. Aku harus halau rasa ini pergi. Aku tidak mahu dia terus mencari aku kerana aku bukan untuk dia dan pastinya dia juga bukan untuk aku.
Saya suka awak, Mukhlis sebab awak peminat saya. Tapi, saya yakin awak sedang keliru. Perbetulkan semua kekeliruan awak tu. Jaga diri.
Aku tekan ENTER dan terus saja aku matikan komputer cuba menghalau jauh perasaan asing ini pergi. Cuba mendamaikan resah hatiku sendiri. Apakah rasa ini? Aku sendiri tidak tahu.
Pelik rasanya menerima seorang peminat lelaki dalam hidup aku. Dia menyokong dan aku berterima kasih tapi bila begini, aku mula risau. Risaukan hati sendiri.
“Ya Tuhan, andai ini adalah keburukan buat aku, Kau jauhkanlah dia dengan apa cara sekalipun dan janganlah Kau bawa dia hadir dekat denganku biarpun beribu batu jaraknya,” gumamku memanjatkan doa pada Ilahi.
Esoknya, aku ke pejabat seperti biasa namun rasanya tidaklah seceria biasa. Wajah Sarina yang terjengul di muka pintu aku sambut dengan senyuman hambar.
“Apa hal, kau Ana?” Dia duduk di depanku.
Aku menggeleng. “Tak ada apa-apalah. Bos cuti. Bosan la pulak. Kerja tak ada ni. Aku curi masa menulis la sikit,” luahku menukar haluan emosiku.
“Ni mesti pasal peminat kau tu, kan?” tebak dia.
Aku pandang Sarina lama. Tanpa sedar aku mengangguk mengiayakan. Sarina jungkit kening bertanya dalam diam.
“Dia confess dekat aku pasal perasaan dia,” ujarku tenang.
Sarina hanya tersenyum manis. “Aku dah agak dah pun. Tak mungkin sampai dia sanggup hantar pesanan pada kau tiap-tiap masa. Dia kat mana, makan apa, buat apa. Lepas tu kau kata apa?”
“Aku cakap hati dia keliru. Kemaskan hati dia dan cari aku lain kali,” jawabku jujur.
“Emm, betullah tu. Aku yakin dia cintakan kau, tapi cinta alam maya macam ni ada bahaya sikit. Kau tak kenal dia, dia pun tak kenal kau. So, itu jelah. Biar dia tetapkan hati keliru dia tu, dan kau pun tetapkan hati kau yang keliru tu jugak!” Nasihat Sarina aku dengar dengan teliti.
“Tapi, hati aku tak keliru. Sungguh, aku yakin aku dengan dia hanyalah seorang penulis dan peminat je,” bantahku.
“Itu kata kau, Ana. Tapi, aku boleh tahu. Senyuman kau, lenggok bahasa tubuh kau, aku yakin kau juga keliru,” ucap dia lantas di bangkit dan menepuk bahuku lembut.
“Jom makan dulu,” ajak dia dan terus saja dia berlalu ke tempatnya.
Aku tidak berganjak. Kenapa hati ini rasa sepi tiba-tiba. Aku buka laman sosial itu sekali lagi. Tapi, ada hampa mengetuk hati, di dalam banyak-banyak pesanan itu, nama itu tidak muncul. Aku mengeluh tanpa sedar.
“Saya harap saya tak keliru macam awak Mukhlis,” bisikku sendiri lantas aku tutup laman itu.
***
HARI ini rasanya sudah beberapa hari, Mukhlis tidak menghantar pesanan padaku. Ada rasa rindu bertamu sebenarnya. Rindu yang terlalu sukar hendak aku akui kerana ku yakin, ini adalah permainan hati semata-mata.
Melihatkan status pada dinding laman sosial miliknya tadi benar-benar membuatkan aku lemah sendiri. Rasa tertusuk juga hati ini. Benarkah begitu tapi untuk apa soalan dia padaku beberapa hari sudah?
Sedang aku duduk menatap skrin komputer, nama itu muncul tiba-tiba. Aku betulkan duduk. Aku hela nafas sedalam mungkin bagaikan bersua mata dengan dia sedangkan antara kami hanyalah kata-kata saja.
Ann Rahana, saya dah kemaskan hati saya. Ternyata, ini cinta. Awak selamatkan
Saya. Saya tak nak kahwin dengan perempuan yang saya tak cinta. Tolong saya.
Saya tak keliru dan perasaan cinta ini betul. Izinkan saya cari awak. Saya nak tahu
nama betul awak je dan saya akan cari awak dengan sendiri. Awak cuma perlu
Tunggu saya muncul depan awak je nanti.
Aku meraup wajah. Rambut yang jatuh terjuntai ke dahi, aku tolak agar tidak menghalang tatapanku. Cinta apakah ini, Ya Tuhan. Terlalu mudah dia menyatakan cinta dan hati aku juga terlalu mudah berkata ya sedangkan aku tidak mahu.
Pasal nama saya, lebih elok awak kekal tahu saya hanyalah Ann Rahana pada awak dan soal hati itu, saya yakin awak keliru kerana status awak sebagai tunangan orang tu dah cukup menjawab kekeliruan ini. Jaga diri…
Aku mahu putuskan segalanya dengan dia. Biarlah kami kekal misteri. Ternyata hati ini sering menipu. Aku yakin, hati aku telah tetapkan perjalanan diri tanpa kekeliruan lagi setelah terbaca status Mukhlis bersama tunangnya di sesuatu tempat.
Status yang sedikit sebanyak membuatkan irama hatiku mati begitu saja. Menjadi bisu akhirnya tanpa detak.
Awak boleh lari, tapi saya tak akan henti memburu. Saya dah bagitahu keluarga
saya dan biarpun mereka menentang, saya harap saya mampu bertahan. Satu
hari nanti, andai kita bersua, awak kena akuinya yang awak cintakan saya. Saya
cintakan awak Ann Rahana dan akan kekal begitu. Saya juga dapat rasakan awak
awak juga cintakan saya, kan? Bukan soal rupa atau awak seorang penulis, tapi ini
soal hati. Kisah hati saya… kisah hati kita!
Aku meraup wajah berkali-kali. Liur yang ku telan terasa kelat membaca pesanan daripada Mukhlis kali ini. Rasa lain macam pula dan rasanya, sudah tiba waktu di mana aku perlu jauhkan diri daripada dia. Jauhkan diri dari segalanya terutama sekali jauhkan diri dari kisah hati yang baru hendak bermula ini.
Hari ini, lena malamku ditemani pilu. Kuasa Tuhan menitipkan rasa cinta tanpa sedar. Tanpa pertemuan membuatkan aku bersalah pada hati sendiri. Tidak pandai menjaganya dengan baik hingga membiarkan hati ini jatuh hati pada seseorang yang bukan milik aku.
***
MATAKU melihat ke arah papan putih. Melihat ke arah aktiviti bos yang baru saja aku kemaskini. Rasanya sudah hampir seminggu, tiada lagi pesanan daripada dia untuk sepatah ayat pun.
Aku termenung sendiri. Entah apa yang aku fikirkan kala ini. Yang pasti, aku rasakan rindu semakin kemas bertapak di dada ini. Aku rindu dia. Rindu pada pesanan dan kata-katanya. Tapi, dia bukan milik aku. Dia sudah berpunya dan aku juga berhak bahagia.
Tanpa sedar, tubir mataku bergenang. Pertama kali digenangi airmata kerana kehilangan seorang peminat membuatkan aku rasa lemah. Lemah kerana peminat itu adalah peminat yang aku suka, yang aku ingin kongsikan kisah hati ini dengannya.
“Kau jatuh cinta, kan?” Teguran Sarina membuatkan aku tersentak sendiri.
Cepat-cepat aku lap tubir mataku dengan hujung jari dan membetulkan duduk agar lebih selesa.
“Betul ke Mukhlis dah bertunang?” tanya Sarina.
Aku angguk. “Dah macam tu sekali dia kata bawa fiancée dia jalan-jalan, betullah tu. Tapi, aku pelik satu hal je…”
“Kenapa dia cakap dia jatuh cinta pada kau, macam tu?” pangkas Sarina membuatkan aku terkedu sendiri.
“Dan kenapa aku sendiri…”
“Jatuh cinta pada dia tanpa sedar?” cantas Sarina lagi.
Kali ini aku ketap bibir. Airmataku jatuh menodai pipi. Sungguh segalanya pertama kali begini.
“Soal hati ni, payah nak tebak, Ana. Kau penulis. Setiap ayat kau selama ni, menusuk hati. Membuai perasaan. Masih belum terjerumus ni, cuba lupakan dia. Hilang seorang peminat hari ini, esok lusa bertambah lagi beberapa orang. Jangan risau. Dah tengah hari ni, jom makan.”
Suara Sarina lembut memujuk. Aku hela nafas sedalam mungkin. Berharap agar hati ini tenang menghadapi kisah hati yang singkat ini.
Dia bukan sesiapa pada aku dan pastilah aku juga begitu, desis hatiku sendiri. Sedaya upaya aku cuba hendak membuang rasa ini pergi jauh-jauh dan jangan kembali lagi.
Kami tiba dibawah dan melihat agak ramai orang mengunjungi bangunan tempat aku bekerja hari ni. Melihat ke arah beberapa buah restoran makanan segera, aku menggeleng dan Sarina mencebik.
“Ramai oranglah, Ana. Kita makan kat luarlah,” cadang dia.
“Emm, boleh juga. Pergi Restoran Ukhuwah lah. Lama tak layan ikan bakar.” Aku nyatakan persetujuan.
“Ikan bakar tu boleh ubat hati kau tak?” Dia jungkit kening berkali-kali tapi aku terus mengerutkan wajah.
“Maksud kau?”
“Hati kau kan tengah JK… jiwa kacau. Kalau kata makan ikan bakar boleh buat JK kau tu hilang, aku belanja,” ucap dia sambil tersengih sumbing.
Aku bulatkan mata. “Jangan usik emosi aku boleh tak. Aku okeylah. Kau kenal kan, aku macam mana. Hati aku ni biarpun sering keliru, tapi tetap milik aku dan aku tak ada niat lagi nak bagi pada orang lain. Cukuplah peminat aku pada aku.”
“Dan dia pun salah seorang peminat kau, kan?” usik dia lagi.
“Sarina… stop it! Memang itu hakikat dan aku tak boleh nak halang orang nak minat aku,” tegurku geram.
Dia ketawa. Beg kecil di tangannya dia buka. “Seperti mana kau tak boleh nak halang orang tu dari jatuh cinta pada kau, kan?”
“Emm, betullah tu…,” selaku berbasa basi.
“Dan kau juga mampu ke nak halang hati kau dari mencintai?”
“Sarina!!” seruku keras lalu aku cubit lengannya. Dia mengaduh dengan wajah menyeringai.
“Aku banyak dateline nak kejar tahu tak? Jangan buat aku fikir bukan-bukan, boleh tak?” tekanku.
Sarina tersengih dan mengangguk. “Yalah-yalah tapi, kau tunggu aku dekat depan bangunan kejap. Aku pergi cucuk ATM dulu kat bawah. Nak belanja kau tapi duit tak ambil lagi. Nanti jadi aku belanja kau bayar pulak.”
Dia ketawa dan terus berlalu. Aku tahan hati. Sabar jelah hati aku dengan minat sorang ni. Kadang-kadang, kata-katanya membuatkan seorang penulis seperti aku ini berfikir juga. Kalah sesekali dengan teman sepertinya seperti mana aku mampu bermain dengan jiwa dan hati pembaca hanya melalui susunan ayat.
Tapi, bila hadirnya seorang peminat lelaki seperti ini, rasanya aku semakin keliru dan terus keliru. Rasa tertewas dalam setiap patah luahannya padaku. Bukan tidak pernah aku berbalas pesanan dengan peminat lelaki yang lain, tapi dengan lelaki ini, tarian jemariku lain pula rentaknya.
Bibirku tersenyum sinis lantas aku berlalu keluar daripada bangunan ini hendak menanti Sarina.
“Emm… panaslah pulak nak keluar ni,” gumamku sendiri sambil mendongak ke langit yang terang benderang.
Lama juga aku menanti Sarina. Mungkin juga ramai yang sedang beratur lantas aku mengambil keputusan hendak mencari dia di dalam. Belum sempat aku melangkah, bahuku dicuit orang.
Bila aku berpaling, ternyata dua orang lelaki tegap berpakaian lengkap dengan kot menegurku.
“Tumpang tanya…,” Mereka menyapa. Aku gariskan senyuman buat mereka berdua dan mengangguk memberi keizinan.
“Cik ni… Cik Anahara Rahman ke?” tanya salah seorang daripada mereka.
Aku mengangguk tanpa ada syak lain. Mereka berbisik sesama sendiri membuatkan aku semakin dilanda resah.
“Kenapa ya, encik berdua?” soalku takut-takut.
Nak kata kereta tak bayar, dah dahulu sebulan. Nak kata rumah tak bayar, duduk rumah sewa je. Tak kan BPR kot. Bila masa aku terima rasuah.
“Cik jangan takut… kami bukan nak apa-apakan cik tapi kalau boleh, kami nak cik ikut kami sekejap.”
Jantung bagaikan hendak luruh kala ini bila terkepung kiri kanan oleh lelaki tegap berdua ini. Nafasku semput tapi aku sedaya upaya bertenang.
“Tapi saya tak kenal awak berdua,” dalihku cuba melepaskan diri.
“Bos kami kenal cik. Tolong cik… mudahkan kerja kami dan cik juga akan mudah. Tak ambil masa yang lama pun. Mungkin dalam sejam dan kami akan hantar cik pulang dengna selamat, kami janji!” tekan salah seorang lagi.
Aku telan liur. “Saya ada kerja dan saya tak akan ikut orang yang saya tak kenal.” Aku membantah tegas.
Baru hendak berlalu, lenganku dipaut kasar. “Kami boleh memaksa kalau kami nak, cik… Tapi, cik adalah amanah Tan Sri dan Puan Sri jadi kami menjaga amanah. Saya mohon, cik ikut kami sebelum kami apa-apakan, cik,” gumam dia juga bertegas.
Aku pandang mata mereka di sebalik cermin mata gelap itu dan dalam hatiku berdoa, biarlah semua ini mimpi. Bala apakah hari ni yang perlu aku lalu dan tanpa sedar, mereka mendorong aku menuju ke sebuah Porche Cayenne berwarna hitam metalik.
Aku berpaling ke belakang dan ternampak kelibat Sarina yang mencari aku tapi segalanya sudah terlambat bila kereta ini terus meluncur laju membuatkan airmataku menitis kerana ketakukan.
***
RAHANGKU jatuh bila tiba di sebuah rumah yang tersergam indah. Ingatkan dalam novel je ada orang kaya macam ni. Realiti pun wujud rupanya. Melihatkan rumah yang nampak mewah dengan kereta-kereta besar yang terparkir gah, membuatkan aku resah.
Audi TT, Caldina, BMW. Huh, benar-benar membuatkan aku kecut kerana aku ini hanya miliki kereta kecil saja.
“Errr… saya kat mana ni?” tanyaku pada salah seorang lelaki tadi.
Dia senyum. “Cik sekarang dah sampai destinasi dan sini adalah Bukit Jelutong kalau cik nak tahu. Cik jemput masuk, semua dah menanti cik kat dalam. Nanti dah selesai, kami hantarkan cik pulang dengan selamat.” Dia mempersilakan aku ke dalam.
“Saya tak ada apa-apakan, nanti?” tanyaku risau. Dia menggeleng.
“Cik masuk dulu. Kami memang tak tahu apa-apa. Tugas kami menjemput cik saja,” jawab mereka dan aku terus saja melangkah masuk ke dalam rumah besar ini.
Aku menjenguk ke dalam rumah dengan perasaan yang takut. Kasut aku buka dan aku menapak selangkah ke dalam. Sudahnya, aku terpaku di situ tanpa mampu melangkah lagi. Ada debar yang hadir. Terasa dekat dengan Mukhlis kala ini. Tapi, inikan mustahil. Tak mungkin. Hati kecilku membantah keras.
“Nak tercegat kat situ nak tunggu orang persilakan kamu masuk ke, Cik Anahara?” Aku dengar satu suara sinis padaku dan bila aku pandang wajah itu, ternyata dia seorang wanita anggun dan bergaya. Dan aku yakin, inilah Puan Sri yang dimaksudkan.
“Err, tak… tak… Puan… err… Puan Sri.” Aku menggeleng kalut. Dia menggariskan sebuah senyuman sinis padaku.
“Masuk! Lagi cepat kita selesaikan lagi baik!” tekan dia lantas dia berlalu dan aku terus mengikut langkahnya menuju ke ruang keluarga.
“Kamu tahu kami siapa?” tanya Puan Sri itu lagi setelah dia labuhkan duduk. Di sisinya ada seorang lelaki separuh umur, mungkin juga suami dia.
Aku kalih ke kanan, ada seorang lelaki muda dan juga seorang perempuan yang ku kira masih remaja. Bila aku senyum, dia menjeling.
“Maaf, Puan Sri. Saya tak tahu. Sebab saya di bawa ke sisi bukan kehendak saya,” jawabku sopan.
Dia merengus kecil. “Memang bukan kehendak kamu, Anahara. Tapi, kehendak saya. Sebab tu kamu di sini,” jawab dia bongkak.
Aku telan liur. Melihatkan renungan mereka padaku benar-benar membuatkan aku tidak betah sendiri. Air jernih sudah lama meniti di tubir mataku. Tinggal hendak mengalir saja.
“Kamu kerja apa? Sekolah sampai mana? Dan betul ke kamu seorang penulis?” tanya dia bongkak.
“Saya penulis separuh masa je. Saya seorang setiausaha dan saya hanya ada Diploma. Itu je,” jawab aku dengan nada getar.
“Diploma je?” soal dia sinis. “Kenapa kamu tak sambung lagi atau memang kamu tak minat nak belajar. Minat menulis semata-mata?”
“Saya pernah belajar tapi masa tu, saya tak cukup duit dan saya buat keputusan untuk berhenti je bantu keluarga. Menulis ni bukan saja minat tapi hidup saya, Puan Sri,” jawabku dengan geram yang cuba aku tahan.
Sungguh aku tidak suka diasak begini. Hidup aku, akulah penentunya dan dia tiada hak hendak menyoal apa saja yang ada dalam hidup aku.
“Along, mama adik kamu ni? Panggil dia,” tekan Puan Sri itu pada lelaki tadi. Benar barangkali apa yang hati ini bisikkan.
Memang ini kerana dia. Benar juga dia berjaya jejaki aku hingga aku berada di sini hari ini dan saat ini. Ya Tuhan, kuatkanlah semangat aku untuk aku terus menghadapi semua ini.
“Kita selesaikan hari ini jugak, Anahara!” tekan Puan Sri ini lagi dan dia terus berbisik dengan suaminya di depanku yang masih tegak berdiri tanpa dipelawa duduk.
“I tak kira, Mukhlis… kalau you berani buat macam ni, you over my dead body first!”
Aku tersentak. Lantas aku kalih dan ternyata seorang lelaki dan seorang perempuan yang cantik dan moden menapak mendekat ke arah kami. Mata lelaki itu terpaku terus padaku. Wanita itu juga sama.
“Jeslina, duduk dulu. Kita selesaikan cara baik. Hari ni, semua orang ada dan kamu Mohd Mukhlis…”
Demi mendengarkan nama itu meniti dibibir Puan Sri ini, aku berpaling terus pada lelaki muda ini. Langsung terpaku mataku pada dia dan airmata ini juga laju menitis. Sungguh aku tak percaya, dia mengotakan kata-katanya. Hendak memburu aku hingga membawa pertemuan kami yang pertama.
“Ya, mama…,” sahut dia dengan anak mata yang masih terpaku padaku.
“Hari ni kamu kena memilih. Baik buruk keputusan kamu… kamu kena tanggung sendiri!” tekan Puan Sri itu.
Mukhlis angguk lantas dia berlalu agak dekat denganku meninggalkan wanita yang bernama Jeslina itu. Dia menjeling aku dan bibir itu tersenyum segaris. Sungguh, pertama kali bertentang mata, hebatnya detak hati ini. Resahnya jiwa ini apatah lagi pertemuan kami ini bagai memungkinkan segalanya.
Dia nampak biasa saja. Langsung tidak ada yang kurang pada mataku cuma kenapa dia terlalu kebudak-budakan begini, mencari aku sampai ketemu lantas membawa aku dibicarakan di dalam mahkamah keluarganya sedangkan aku bukanlah pesalah untuk mereka.
“Kamu kenal anak saya ni, Anahara?” tanya Puan Sri padaku.
“Maaf Puan Sri… saya tak pernah kenal dan tak pernah ada cinta untuk anak Puan Sri. Sungguh saya tak kenal siapa lelaki bernama Mukhlis ni,” tekanku tegas dengan anak mata yang terpaku tajam pada lelaki yang bernama Mukhlis itu.
“Tapi, anak saya kenal kamu, Anahara. Macam mana kamu boleh cakap kamu tak kenal dia sedangkan setiap masa nama Anahara yang dia sebut dalam rumah ni. Dekat cuping telinga ni!” Mama kepada Mukhlis meluruskan jari telunjukkan pada sisi kepala.
Aku renung lagi lelaki itu memberi amaran. Di bawa ke dalam rumah besar ini dalam keadaan begini membuatkan aku hampir menangis namun tewasku tak mungkin di sini.
“Saya tak pernah kenal dia, Tan Sri… Puan Sri dan keluarga semua. Sungguh saya tak tahu dia wujud dalam dunia ni,” ucapku masih cuba bersopan.
Lelaki yang separuh umur itu bangkit berdiri tegap. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Mata itu redup merenungku.
“Kamu ada apa-apa nak cakap, Mukhlis?” tanya dia pada lelaki yang sedari tadi merenungku tidak berkelip.
“Nikahkan saya dengan Anahara, abah. Dia marahkan saya sebab saya lakukan sesuatu yang buruk pada dia. Sebab tu dia tak nak mengaku dia kenal saya, bah… mama…”
Kata-kata lelaki ini membuatkan wajahku berkerut seribu.
“Nope!!” bantah wanita bernama Jeslina itu. Dia merenung aku dan Mukhlis tajam silih berganti.
“You just can’t! Kita dah tunang lama okey! Semua dah tahu yang kita akan kahwin by the end of this year? Macam mana you sanggup buat I macam ni, hah? Macam mana you boleh pilih perempuan kampung yang you sendiri tak tahu asal usulnya ni?” tengking Jeslina pada Mukhlis.
Aku hanya mampu diam terkedu seribu bahasa. Sungguh aku sendiri tidak mengerti tentang permainan mereka.
“Kita tunang kerana keluarga, Jes. I tak cintakan you. I cintakan dia…”
“Tapi, saya tak pernah dan tak akan cinta awak, Mohd Mukhlis!” cantasku keras memberi makna pada dia yang aku tiada cinta untuknya.
“Saya tahu, awak marahkan saya sebab pernah cuba lakukan yang tak baik pada awak, kan? Sebab saya pernah cuba usik awak, kan? Sebab tu awak tak mengaku kenal saya dan tak mengaku cintakan saya, kan Ann?” soal dia padaku. Mataku membulat. Sukar hendak aku percaya kata-kata lelaki ini.
“Apa kau cakap ni, Mukhlis? Kau terus terang sikit. Bagi kami faham!” tekan lelaki yang dipanggil Along tadi.
“Itulah hakikatnya, abang long. Kami pernah bertemu dan masa tu, saya pernah nak buat jahat pada dia, sebab tu dia kata dia tak kenal saya,” jawab dia tenang di dalam sebuah pembohongan.
“Tak… awak jangan nak adakan cerita, Mukhlis. Saya tak pernah kenal dan tak pernah jumpa awak pun sebelum ni. Awak tu peminat saya je dan saya ini hanyalah seorang penulis yang tak pernah awak kenal. Kenapa awak buat saya macam ni? Kenapa nak jatuhkan maruah sendiri dan maruah saya depan keluarga awak? Depan tunang awak?” tanyaku tegas dengan dada yang berombak laju dan suara yang bergetar hebat menahan tangis.
“Saya cinta awak, Anahara,” akui dia.
“Tapi, saya tak cintakan awak, Mukhlis,” tekanku.
“Cuma saya pelik, macam mana awak mampu selidik semua tentang saya? Tapi, tak apalah. Saya tak nak jawapan tu lagi. Dan Puan Sri, Tan Sri sekeluaga… Mukhlis sedang keliru. Dia memang keliru jadi hal ni tak ada kaitan dengan saya. Dia milik Cik Jeslina dan saya bukan sesiapa pun. Izinkan saya pulang kerana hal ini dah selesai sampai sini saja,” ucapku pada Puan Sri dan belum sempat aku berlalu, lenganku dilelar kasar.
“Kan saya pernah kata, awak boleh lari dan saya tak akan berhenti memburu. Bila dah jumpa, saya nak awak akuinya yang awak cintakan saya. Sekarang jugak, depan keluarga saya dan saya akan lepaskan segalanya demi awak!” gumamnya dengan anak mata yang merah menahan marah.
“Macam mana saya nak akui, sedangkan cinta ini memang tak ada untuk awak,” balasku pula.
“Okeylah. Kamu berdua jangan bergaduh kat sini… kita nak selesai. Mukhlis, memang abah percaya kalau kata kamu dan Anahara ni dah terlanjur sekalipun sebab abah kenal kamu dan seperti kata mama kamu, kamu pilih sekarang jugak!”
Aku menggeleng mendengarkan kata-kata abah Mukhlis. “Tak, Tan Sri. Mungkin saya biasa-biasa je. Budak kampung. Penulis cabuk. Tapi, maruah dan kulit saya ni tak mungkin sesiapa dapat sentuh sesuka hati!” tekanku membetulkan kenyataannya.
Dia tersenyum sinis. Isterinya juga. “Kami kenal anak kami macam mana, Cik Anahara sebab tu bila dia cakap macam tu, kami percaya. Entah-entah kamu dah berisi tak sebab tu budak Mukhlis ni bersungguh-sungguh nak kan kamu?” tanya Puan Sri.
Pedihnya telinga ini mendengar tohmahan itu. Sakitnya hati ini melihatkan senyuman penuh sindiran mereka.
“Mama… Jes tak kira. Jes nak nikah jugak dengan Mukhlis. Jes tak kira mama,” bentak Jeslina tiba-tiba.
“Jes… biar Mukhriz buat pilihan. Dia tahu apa yang terbaik untuk dia,” jawab Puan Sri lembut.
Bahu Jeslina diusap dan bibir itu menguntum senyuman. Nampak ikhlas benar. Tergambar kasih sayang antara Jeslina dan mereka sekeluarga bila aku lihat adik perempuan Mukhlis pergi memeluk pinggang Jeslina dengan mata yang menjeling tajam ke arahku.
“Mukhlis nekad, ma… Mukhlis nak Anahara… bukan Jeslina. Biarpun mama nak buang Mukhlis dari keluarga ni. Nak buang nama Mukhlis dalam pewaris mama, Mukhlis tak kisah. Nak ambil semua kereta, jawatan, rumah… Mukhlis tetap tak kisah mama….”
“Tapi, saya kisah, Mukhlis. Saya kisah. Jangan kerana saya, awak nak hidup melarat begini dan jangan kerana saya, awak lupa syurga awak di mana.” Aku memangkas pantas dengan suara yang tegas mendatar.
Puan Sri tersenyum. Jeslina juga. Hanya Mukhlis yang tunduk sugul menerima ketewasannya. Pertemuan pertama kami ternyata berbeza dari apa yang aku harapkan. Bagaikan langit dan bumi, akan meninggalkan kesan yang tak mungkin hilang selamanya. Kisah hati yang kekal selamanya dalam diriku.
‘Cinta ini buatmu, Mukhlis. Tapi, andai ini pengorbananmu untuk menuntut cintaku, biarlah kita begini. Usah menderita kerana kisah hati. Usah merana kerana cinta yang ternyata bukan milik kita,’ bisik hatiku sendiri. Pedih sebenarnya kerana hari ini aku tahu yang aku juga mencintai dia.
Setelah aku datang menemui dia, telah dia katakan cinta tapi aku akhirnya terpaksa menolak tanpa ucapan maaf. Aku sudah tidak sudi untuk biarkan mereka terus mencederakan perasaan dan hatiku, lantas aku bawa langkah ini keluar rumah. Tak sempat aku menyarungkan kasut ke kaki, lenganku sekali lagi dipaut oleh Mukhlis.
“Saya tahu awak cintakan saya, Anahara. Tolong jangan tinggal saya setelah saya bersusah payah berterus terang dengan keluarga saya tentang kita,” rayu dia.
“Kita??” tanyaku kuat.
Dua orang pengawal tadi memandang kami. Tapi, aku sudah tidak peduli. Sungguh aku tak sudi melihat dia lagi.
“Kita yang awak maksudkan tu besar bezanya Mukhlis. Kenapa awak sanggup cakap macam tu? Kenapa awak sanggup rosakkan kepercayaan saya pada awak? Kenapa awak buat semua ni? Kenapa awak biarkan pertemuan pertama kita bermula dan berakhir macam ni sekali?” tanyaku lirih. Airmata sudah laju menodai pipi.
Aku tak mampu bertahan. Sungguh tak mampu. Tewas pada cinta pada dia benar-benar membuatkan hati aku keliru malah bertambah kelam.
“Saya cintakan awak, Anahara. Terlalu cinta. Kalau saya pilih Jeslina, we both hurt. Kita terluka. Awak dan saya. Dia juga,” tekan dia.
Aku menggeleng. “Awak pernah cintakan dia, dan saya yakin awak mampu cintai dia lagi. Saya datang sekejap je Mukhlis… lepaskan saya, lupakan saya. Cukuplah awak tahu segalanya tentang saya.”
“Saya tak mampu, Anahara. Saya tak mampu tanpa awak. Cinta kat hati saya ni…” Dia lekapkan telapak tangannya yang satu lagi ke dada.
“… hanya sebut nama awak, Anahara. Begitu payah saya tahu nama penuh awak. Begitu sukar saya siasat di mana awak, tak kan awak nak tinggalkan saya macam ni je. Betul ke tak ada cinta dalam hati awak tu untuk saya?”
Sekali lagi aku menggeleng. “Memang tak ada Mukhlis. Dan kalau ada pun, saya akan kuburkan cinta ni untuk selamanya.”
“Tapi, saya ingin miliki awak, Anahara…. Please, be mine!”
“Saya tak perlukan orang yang nak miliki saya, Mukhlis. Saya hanya perlukan orang yang nak cinta saya,” bentakku cuba melepaskan lengan ini dari genggamannya.
“Tapi saya nak cintai seseorang yang telah saya miliki. Saya nak miliki awak kerana saya cinta awak, Anahara. Izinkan saya miliki seseorang yang saya cintai,” rayu dia lagi sambil memperkemaskan genggaman pada lenganku.
“Awak bakal miliki Jeslina. Dan awak masih boleh minati saya. Cukuplah sampai sini dan tahniah sebab awak berjaya jejaki saya,” ucapku sinis.
Kala ini, Jeslina tegap berdiri di belakang Mukhlis. “Mukhlis!” seru dia kasar.
“You dah buat pilihan, dan perempuan ni juga dah buat pilihan. Sekarang I tak kira. I nak kita nikah cepat. Kalau betul you nak sangat nikah dengan dia, I tak kisah kalau you nak nikah dua-dua sekali!”
Semudah itu, Jeslina menuturkan kata. Sesenang itu dia mahu berkongsi kasih sedangkan aku pasti tidak mampu kerana jerih perit mata memandang terlalu pedih, apatah lagi berat rebeh bahu yang memandangnya nanti.
“Jes… kalau kata you nekad, I tak ada pilihan. Bagi I Anahara adalah segalanya. Kalau you mampu terima, you jangan salahkan I satu hari nanti,” tekan dia pada tunangannya.
Aku ketawa sinis tiba-tiba pada mereka berdua. “Awak berdua jangan ingat hati dan jasad saya ni tak ada harga. Tak bernyawa sampaikan awak berdua boleh buat keputusan untuk saya. Dan awak Cik Jeslina… jangan diucap sesuatu yang sukar itu semudah ini. Awak jangan risau, saya tak akan hadir lagi dalam hidup awak berdua. Tak akan dan tak mungkin!” tekanku.
“Saya tetap akan bawa awak ke dalam hidup saya, Anahara. Ini janji saya. Kalau tak, nama saya bukan Mohd Mukhlis lagi!” tekan dia bersungguh-sungguh, lantas dia berpaling dariku menarik tangan Jeslina masuk ke dalam rumah membiarkan aku berlalu sendiri bersama airmata yang tidak mampu lagi aku bendung.
***
PERTANYAAN Sarina aku biarkan sepi. Sudah tidak tahu hendak memulakan dari mana apatah lagi hendak mengakhirinya.
“Kau boleh tak cakap kau pergi mana beberapa hari sudah, Ana? Mujur bos sayang kau, tau tak? Tiba-tiba kau ambil cuti kecemasan. Kau balik kampung ke? Ada masalah?” tanya dia cemas.
Aku menggeleng. “Kan aku dah cakap, aku kena culik!”
“Kau biar betul.” Dia ketawa tidak percaya dengan kata-kataku.
“Percaya atak tidak, itu hak kau. Aku tak kisah. Cakap pada bos, aku nak cuti lagi beberapa hari. Ada hal aku nak kena uruskan.”
Sesungguhnya aku jadi takut hendak ke pejabat memandangkan Mukhlis sendiri sudah tahu tempat kerjaku tapi aku yakin, dia masih belum tahu tempat tinggalku dan rasanya inilah tempat yang paling selamat buat masa ini.
“Kau rindu dia, ya? Sampai tak makan, tak minum. Tak menulis? Jiwa kacau sangat eh?” tebak Sarina lagi.
Aku menjeling dia tajam.
“Ni bukan setakat jiwa aku je kacau, Sarina. Tapi, otak aku ni kacau bilau dah tahu tak?!” tekanku sambil menujah kepala sendiri.
Wajah Sarina bertukar kelat. “Jangan kata kau dah jumpa…”
Belum sempat kata-kata Sarina tamat, aku mengangguk. “Kan aku dah cakap, aku kena culik dibawa ke rumah dia hari tu. Kenapa kau susah sangat nak percaya?” tanyaku
Sarina tekup mulut. “Ya Allah, Ana. Sungguh macam aku duga, lelaki tu memang fanatik gila dengan kau. Kau dah jumpa keluarga dia? Kau tak apa-apa, kan?”
“Jangan kata keluarga dia, tunang dia pun ada. Aku memang tak apa-apa, Ina. Tapi… hati aku ni terluka sangat.” Aku mula teresak-esak sendiri.
Sukar hendak aku mengerti. Bibir menolak, hati ini terus menarik. Berkali aku katakan benci, tapi sayang juga yang hati aku akui.
“Kau cintakan dia, kan?” Sarina menduga dan aku tiada pilihan lain selain mengangguk saja.
“Ada nombor dia… bagi aku!”
Aku menggeleng.
“Dia ada nombor kau?”
Aku menggeleng juga. Sarina mengeluh. “Sabarlah, Ana. Kau kena kuat. Soal hati ni, aku sendiri pun tak reti. Sampai tahap ni dia sanggup buat, aku rasa dia betul-betul cintakan kau,” ucap Sarina memujuk lantas dia bangkit meninggalkan aku sendiri.
Setelah Sarina berlalu, aku rapat pada komputer di meja tulis. Tetikus aku larikan. Mungkin jiwa ini menderita, tapi peminat yang setia tidak mungkin menerima tempias pedih di hatiku.
Sungguh bagai yang aku rasa. Pesanan daripada dia muncul lagi. Airmataku menitis tanpa aku pinta. Ayat-ayat yang dia berikan padaku membuatkan aku pilu.
Anahara… saya suka nama awak. Tapi, saya lagi cintakan awak. Bukan Ann Rahana tapi Anahara. Betapa sukar saya temui awak hingga akhirnya untuk saya temui yang awak tak cintakan saya. Begitu payah saya tolak segalanya untuk saya temui, awak tak sudi terima saya. Saya tunggu awak, Anahara. Saya tahu awak kenal kereta saya. Keluar dan jumpa saya. Kita selesaikan segalanya. Saya menyeru awak, datanglah dan temui aku kerana aku akan katakan, aku sangat mencintai kamu. Aku ingin milikimu atas restu Allah.
Tangisku bagaikan sudah tiada hentinya. Menatap luahan hati Mukhlis membuatkan aku tercampak jauh ke dalam cinta yang menyakitkan. Sudah tidak mampu menahan, aku pantas bangkit. Tudung aku capai lantas aku belit ala kadar saja ke kepala. Belum sempat aku memulas tombol pintu, Sarina menyeru aku.
“Nak ke mana malam-malam ni, Ana?” tanya dia.
“Mukhlis ada sekitar sini. Aku nak jumpa dia. Aku cinta dia. Aku tak mampu nak biarkan dia lagi,” jawabku sambil menyarungkan kasut dengan tergesa-gesa.
“Anahara… kau bukan macam diri kau sekarang. Tapi, kalau betul kau nak pergi jumpa dia, tolong jaga diri. Aku akan sentiasa ada untuk kau. Akan sentiasa ada,” ucap Sarina dan aku terus berlari keluar daripada rumah tanpa berpaling lagi.
Aku tiba di bawah dan mata ini meliar mencari kereta milik Mukhlis. Demi terpandangkan susuk tubuh yang sedang bersandar pada kereta biru miliknya itu, aku perlahankan langkah. Dalam benar aku terjerumus dalam cinta seorang peminat sampaikan begini sekali tindakanku.
“As… assalamualaikum…” Aku menyapa dengan suara yang resah. Dia pantas berpaling dan wajah itu mengukir senyuman hambar.
“Waalaikummussalam, Ann,” jawabnya lantas dia mendekat padaku.
“Macam mana awak tahu semuanya tentang saya sampaikan tempat tinggal saya pun awak tahu?” tanyaku.
Dia ketawa kecil. “Kan saya dah cakap, kalau saya nak semua saya boleh cari dengan sikit usaha.”
“Kenapa awak datang? Kenapa awak nak saya datang juga temui awak?”
“Saya datang kerana hati saya ada pada awak dan saya nak awak datang jumpa saya sebab saya nak mengaku berkali-kali, saya cintakan awak. Saya nak miliki awak,” jawab dia lembut.
“Awak cintakan saya, kan?” Suaranya tenang tapi resahnya nafas itu menyatakan sebaliknya.
Aku renung dia lagi. “Apa syaratnya untuk saya mengaku pada awak?”
“Berhenti menulis… saya tak nak kongsi awak dengan semua peminat awak.”
Aku ketawa tanpa sedar. “Menulis hidup saya. Peminat tu tu istimewa untuk saya tapi rasanya awak juga istimewa sebab mampu cari siapa Anahara Rahman di sebalik Ann Rahana tu,” ucapku,
Mukhlis menggeleng. “Saya gurau je. Saya tak punyai sebab untuk awak terima saya dan saya juga hanya ada satu sebab untuk cintai awak. Saya suka awak terlalu suka sampai saya tak tahu nak kata apa dah,” luah dia.
“Menulislah, Ann. Menulislah andai itu mampu buat awak bahagia. Dan saya harap, awak sudi dan mampu hidup dengan saya sebab saya mungkin akan hilang segalanya. Tak akan ada harta nanti. Hanya hati ini semata-mata,” sambung dia dengan wajah yang sikit berkerut.
Sukar hendak aku tolak rasa hati bila cinta ini sememangnya untuk dia. Mata kami beradu sesama sendiri. Anehnya cinta, peliknya rindu. Cinta bersatu melalui kata, rindu menderu hanya sekadar bicara namun bila mata bertatapan, aku kelu seribu bahasa. Sudahnya aku angguk jua.
“Maafkan saya sebab saya cinta awak, Mukhlis,” akuiku bersama esakan kecil. Dia mengucap syukur dan meraup wajahnya berkali-kali.
***
PERJALANAN kami agak memenatkan. Atas sokongan Sarina, aku nekad hendak menjadikan diriku milik Mukhlis biarpun tiada majlis yang gilang gemilang dan biarpun aku tahu dugaan di depan waktu akan lebih hebat lagi.
“Kamu berdua dah sedia ke ni?” tanya Sarina pada aku dan Mukhlis saat kami tiba di laman rumah emakku.
Aku angguk. “Aku dah cakap pada Abang Ngah aku dan dia macam okey je,” jawabku lemah kerana aku tahu, mak pastilah kecewa.
Mukhlis memandangku dan tersenyum. “Jodoh kita kuat. Percayalah!” pujuk dia.
Aku hanya tersenyum tawar. Mungkin benar jodoh kami kuat tapi tentangan juga bakal hebat.
“Dah sampai?” tanya Abang Ngah saat aku berada di ambang pintu. Dia memandang Mukhlis lama sebelum tersenyum mesra.
Kami naik ke atas dan mak serta Kak Long sudah sedia menanti. Wajah Kak Long sugul. Mak juga biarpun wajah tua itu segang mengukir senyum.
“Saya Mukhlis, mak cik.” Mukhlis menyapa mesra lantas dia duduk di sisi Abang Ngah.
Mak mengangguk beberapa kali. “Kamu berdua ni nekad ke?” tanya mak setelah lama suasana gumam tanpa suara.
Aku diam menunduk. Tidak sanggup sebenarnya hendak mengecewakan mak dan keluarga semua.
“Kamu nekad nak nikah dengan Anahara, Mukhlis?” soal Abang Ngah pula.
Dia mengangguk yakin. “Apa-apa pun berlaku, saya janji saya akan jaga Anahara sebaik mungkin, bang,” janji dia pada keluargaku.
“Kalau macam tu, mak… kita relakan jelah mak dah kalau kata Ana sendiri setuju,” ucap Abang Ngah pada mak.
Mak mengeluh. Dia angkat wajahnya memandang aku. “Mak tanya sekali lagi ni Ana… Ana betul nak jadi isteri Mukhlis. Nak susah payah dengan dia?”
Mataku berair melihat mak. Aku nampak kekecewaan dalam dirinya. Bila aku pandang Mukhlis, dia hanya memandangku penuh dengan harapan. Kak Long diam membatu. Sarina juga sama. Kelu semuanya dan bila aku mengangguk lambat-lambat, mak mengeluh lagi.
“Kalau ini yang Ana nak, mak restui. Tapi ingat, satu hari nanti kalau Ana susah, baliklah pada mak.”
Aku langsung bangkit dan terus memaut lutut mak. “Ana minta maaf, mak. Ana seroang anak yang tak baik buat mak. Ana dah kecewakan mak,” ucapku dalam tangis.
Telapak tangan mak singgah di belakang kepalaku. “Tak… Ana baik sebab tu anak balik minta izin dengan mak. Anak anak mak yang baik,” sahut mak pula dan akhirnya ruang tamu rumah mak dihiasi tangis yang sahut bersahutan.
***
RESAHNYA hati hanya Tuhan yang tahu bila akhirnya, aku kini menjadi milik Mukhlis yang sah. Jodoh milik Tuhan yang telah Tuhan pinjamkan buat kami berdua entah sampai bila biarpun aku berharap untuk selamanya.
“Anahara…,” seru Mukhlis yang entah bila berada di belakangku.
Aku berpaling dan menggariskan senyuman yang terlalu janggal. Dia melangkah mendekati tapi aku pantas menjauh daripada dia.
Dia senyum dan menggeleng kecil. “Ana takut pada saya, ya?” tanya dia lembut.
Aku pantas menggeleng sedangkan dalam hati ini, aku kecut. Segalanya berlalu terlalu pantas di atas kehendakku sendiri.
“Kalau tak takut, kenapa nak jauhkan diri?” tanya dia.
“Err… esok kita nak balik KL, kan? Lebih baik awak tidur dulu,” cadangku.
“Habis tu, kalau saya tidur, Ana nak buat apa?” Kali ini, terkesan olehku senyuman nakal di bibirnya.
“Saya ada dateline dengan penerbit nak kena hantar. Jadi, saya kena siapkan dulu. Dah banyak minggu saya tak buat. Takut tak sempat kejar dateline nanti.” Aku memberi alasan dan dia mengangguk.
“Yalah, kan… saya lupa saya nikah dengan seorang penulis yang punyai ramai peminat,” balasnya lantas dia rebahkan tubuhku di atas katil dan mata itu aku lihat terpejam dengan sendirinya.
Nafas lega aku hela segala mungkin. Benar aku miliknya yang sah tapi aku masih belum bersedia hendak menyerah. Terlalu takut kehilangan dia satu hari nanti.
Komputer riba aku hidupkan lantas aku curahkan segala yang berbekam di hati menjadi sebuah bicara bisu antara aku dan peminat yang setia menanti hasil garapanku.
***
PERMINTAAN Mukhlis benar-benar membuatkan aku hampir terduduk. Sepanjang perjalanan pulang beberapa hari sudah dia tidak putus memujukku agar berpindah tinggal bersamanya. Betapa hebat aku menolak, lebih hebat lagi dia memujuk.
“Saya perlukan Ana di sisi saya. Saya nikahi Ana sebab saya nak ada ada dekat dengan saya. Bukan ke rumah keluarga saya, tapi rumah saya dekat Damansara. Kita tinggal kat situ. Tak ada orang nak kacau kot,” pujuk dia.
Aku menggeleng perlahan. “Saya rasa, buat masa sekarang, saya lagi selesa tinggal sendiri kot. Bukan tak sudi nak ada di sisi awak tapi lebih baik awak selesaikan dulu hal awak dengan tunang awak dan juga keluarga awak tu,” pintaku lembut.
Dia merengus. Jemariku diraih. Hendak membentak tapi aku tahu, aku adalah sah untuk dia sentuh lantas aku biarkan saja.
“Yang tu, Ana jangan risau. Bagi masa sikit, saya akan selesaikan. Soal mama saya, mungkin agak payah tapi abah saya tak nak campur katanya.”
“Dan, ingat satu pesan saya…” Aku genggam erat jemari suam itu. Dia angkat tanganku lantas di bawah rapat ke bibirnya.
“Apa pun jadi, mama awak tu syurga awak. Jangan buat dia marah. Jangan tolak kehendak dia,” pesanku ikhlas.
“Biarpun kehendak mama tu akan buat kita berdua terluka?” soal dia tidak sabar dan aku mengangguk juga.
“Sungguh apa yang hati saya rasa… awak terlalu baik untuk saya. Kenapa terlambat kita kenal? Dan kenapa kita kenal melalui alam maya macam tu je?”
“Awak… hal lepas tak jadi masalah lagi. Lambat atau cepat, kita kenal juga. Melalui alam maya pun, kita dah sah bersama. Ini yang penting dan apa yang bakal berlaku nanti. Buat masa ni, biar saya lepaskan awak sendiri cuma awak kena ingat saya… tanggungjawab awak sekarang,” ucapku cuba berjenaka dan cuba menghalau wajah resahnya.
Dia ketawa kecil. “Dan awak pun sama. Ingat awak tu milik saya. Jangan terlalu sibuk dengan fans awak tu. Saya kedekut. Bukan boleh nak share awak dengan semua orang ni,” balas dia pula.
Aku tertawa kecil.
“Cukuplah sekali macam ni. Saya harap awak tunaikan janji awak. Nak cintai saya setelah awak berjaya miliki saya.”
Mukhlis mengangguk. “Saya akan jaga awak sampai akhir masa. Dan awak pun kekallah dengan saya biarpun nanti saya dibuang keluarga dan tak ada apa-apa dah masa tu,” pinta dia pula.
“Selagi Tuhan mengizinkan saya berada di sisi awak,” selaku lembut.
Mukhlis menarik aku ke dalam pelukannya. Kepalaku diusap lembut.
“Saya cinta awak, Anahara. Tak kisahlah awak Anahara atau Ann Rahana, bagi saya dua-duanya terlalu istimewa,” gumamnya lantas dia singgah mengucup pipiku.
Bahu sasa itu aku tolak lembut. “Nanti, kan… kalau kata awak betul kena buang kerja, kena buang keluarga, awak boleh jadi teman saya bila saya menulis. Dapat royalti, kita bagi dua, nak?” Aku jungkit kening mengusik.
Dia bulatkan mata. Redupnya renungan mata kuyu itu membuatkan aku terjerumus ke dalam lembah cintanya yang paling dalam.
“Sanggup ke nak bela saya?”
“Habis tu, nak ke saya biar awak kat tepi jalan je?” usikku lagi. Dia mencubit pipiku lembut.
“Jangan risau… akan ada sesuatu yang baik untuk kita,” ujarnya sekali lagi penuh keyakinan dan aku mengangguk saja.
“Ana…”
Aku tersentak dari ingatan pada suamiku. Wajah Sarina muncul mengah. Aku bangkit mendekat pada dia lantas dia tunjuk ke arah dua orang lelaki yang pernah aku kenali.
“Err… encik buat apa kat sini?” tanyaku risau.
“Maaf cik… Tan Sri dengan Puan Sri nak jumpa cik sekali lagi,” jawab mereka serius. Aku kerutkan wajah. Jemari Sarina aku paut pantas.
“Diorang dah tahu ke, Ina?” bisikku. Sarina menggeleng tanda tidak tahu.
“Saya ikut tapi saya nak ajak kawan saya teman, kan?”
Mereka berpandangan sesama sendiri lantas akhirnya mereka mengangguk. Aku hela nafas lega seketika kerana aku yakin, bala sedang menghampiri dan bakal menimpa.
Kami tiba di rumah keluarga Mukhlis sekali lagi. Seperti pertama kalinya aku di sini dulu, mulut Sarina juga melopong.
“Gila kaya mamat ni,” ucap dia perlahan. Aku menyiku Sarina dan kami sama-sama menapak ke dalam rumah.
Kala itu, wajah Tan Sri Mahzan dan Puan Sri Mashitah ada di situ bersama dengan Jeslina dan adik perempuan Mukhlis.
“Assalamualaikum,” sapaku takut-takut.
“Waalaikummussalam… duduk Anahara…” Abah kepada Mukhlis bangkit dan mempersilakan aku dan Sarina duduk. Pertama kali, aku rasakan dia mesra denganku. Bibir tua itu tersenyum lantas menghambar resah ini pergi.
Takut-takut aku labuhkan duduk di atas sofa cantik dan mewah ini. Mata tajam Puan Sri dan Jeslina sedaya upaya aku tentang. Cebikan adik perempuan Mukhlis aku terima dengan hati yang pedih.
“Dengar kata, kamu dah nikah dengan Mukhlis, betul?” soal Puan Sri memulakan bicara.
Aku terkejut besar. Sarina juga. Hendak menggeleng rasanya tidak mampu bila dia menunjukkan surat nikah milik Mukhlis.
“Kamu kata tak nak dia, tak cinta dia… tapi kamu sudi terima dia, menjadi isteri dia. Apa niat kamu sebenarnya, Anahara?” tanya dia kasar.
“Saya… cinta…kan dia,” jawabku takut-takut.
“Memang hari ini kamu buktikan kamu penulis hebat, Anahara sebab kamu berjaya buat Mukhlis jatuh cinta pada kamu tanpa melihat rupa. Hanya dengan ayat-ayat yang membuai perasaan saja,” sinis dia.
Aku ketap bibir. Cinta ini tulus untuk dia. Hadir tanpa aku pinta, malah hendak ku usir juga bimbang hati kami menderita, bicara hatiku pedih.
“Okeylah. Saya panggil kamu ni, bukan untuk ceritakan soal kamu nikah dengan Mukhlis sebab saya memang dah agak. Saya boleh siasat dalam sekelip mata saja. Tapi, hari ni, saya nak kamu sign surat ni. Untuk Jeslina,” arah dia lantas dia campakkan kertas putih itu di depanku.
Jemariku terketar-ketar mengambil kertas putih itu dan sungguh aku dibadai gelora hebat bila surat kebenaran poligami itu benar-benar memberikan aku satu kejutan lagi biarpun aku benar-benar telah bersedia.
“Nah…” Jeslina mencampakkan sebatang pen di depanku. Aku pandang dia lama.
“Macam aku cakap sebelum ni, aku rela kongsi Mukhlis dengan kau, janji aku tak malu dengan kawan-kawan yang memang dah tahu kami nak kahwin ni!” beritahu dia tanpa aku pinta.
“Kamu fakir Anahara… kalau kamu benar-benar sayangkan, kamu nak dia menderita melarat kat luar sana, bila kami halau dia dari rumah ni dan tak bagi dia apa-apa pun. Kamu sanggup tengok suami kamu sendiri menderita kerana kamu?”
Akalku dirasuk dengan kata-kata Puan Sri. Wajah Sarina aku pandang. Teman itu menggeleng laju tapi aku mengangguk lemah.
Dengan semangat yang masih berbaki, aku capai pen tersebut dan tanpa berfikir panjang lagi, aku terus turunkan tandatangan di atas kertas tersebut lalu aku bangkit dan mengheret Sarina keluar.
“Nanti, Anahara…,” seru Puan Sri.
“Saya tak suka kamu tinggal di luar bersama Mukhlis. Sebab kamu dah jadi isteri dia dan dia pun sayangkan kamu, saya arahkan kamu pindah tinggal di rumah ni. Sudah cukup saya lepaskan Mukhlis bebas sendiri sampaikan dia terjatuh pada perempuan seperti kamu!” ucapnya tegas.
Aku sudah tidak mampu berpaling lalu aku melangkah keluar bersama airmata yang berjuraian. Perempuan seperti aku? Perempuan jenis apakah aku ini hanya kerana menerima cinta anak lelakinya.
***
MUKHLIS membentak hebat. Setelah beberapa minggu aku menjadi isterinya, pertama kali dia begini.
“Apa awak buat ni, Anahara? Cuba jawab!” Suara itu terus melengking bila aku diam tidak menjawab.
Hanya tangan ini saja ligat mengemas pakaiannya ke dalam almari setelah kami ternyata berpindah ke rumah keluarganya di Bukit Jelutong.
“I am asking you, Anahara! Answer me!” bentak dia lagi lantas kertas putih itu dia lempar padaku.
Aku bangkit rapat ke almari. Berada di dalam bilik Mukhlis yang terlalu besar ini rasanya aku bagaikan berada di padang bola. Terlalu mewah. Segalanya lengkap sampaikan aku tidak susah hendak keluar daripada bilik ini.
Tanpa sedar, Mukhlis menarik lenganku. Pakaian yang baru saja hendakku letak ke dalam almari terjatuh ke kaki. Bila aku hendak mengutip, Mukhlis menahan tubuhku dari tunduk. Bahuku dicengkam kuat. Wajah itu merah padam menahan marah.
“Jawab saya, Anahara. Kenapa awak buat saya macam ni? Padanlah awak nak balik ke rumah ni. Nak tinggal dengan saya dan keluarga saya. Ini semua kehendak mama. Saya boleh terima tapi ini…” Dia suakan surat kebenaran poligami itu padaku.
“… ini saya tak boleh nak terima, Ana. Kenapa awak tak sudah-sudah nak buat saya menderita dengan semua ni. Saya tak cintakan Jeslina. Saya tak kisah kalau dia nak putuskan pertunangan kami sebab saya dah ada awak. Cukuplah pada saya. Saya tak mampu nak berlaku adil,” ucapnya lemah.
Kelopak mata kuyu itu bergenang. Aku angkat tanganku membawa jari ini menyeka airmatanya yang meniti di tubir matanya.
“Saya cintakan awak untuk lihat awak bahagia. Saya cintakan awak untuk bersama-sama awak di syurga tapi kalau awak derhaka pada mama awak, macam mana kita nak temui redha hendak ke syurga? Saya cinta awak, saya jadi isteri awak dengan harapan agar saya tak bawa awak menjadi anak yang derhaka, Mukhlis. Saya terima Jeslina sebab dia yang berhak pada awak pada asalnya. Cuma, percaturan takdir menjadi saya terlebih dahulu menjadi milik awak dan dia kemudian tapi saya yakin, awak mampu cintai dia lagi dan terima dia. Saya hadiahkan segala kebahagiaan saya buat awak dan dia dan biarlah segala penderitaan ini saya tanggung untuk awak.” Aku mengusap lembut pipinya.
“Kenapa macam ni, Anahara? Saya dah cukup seksa nak miliki awak tapi kenapa sesenang itu awak nak jadikan saya milik orang lain?” tanya dia lirih.
“Saya hanya ada satu jawapan je. Sebab saya tak nak awak dibuang keluarga. Tak nak awak jadi anak derhaka.” Aku cuba pamerkan senyuman biarpun bibir ini terasa kaku.
Mukhlis diam. Dia menyapa aku ke dalam pelukannya. Erat dan sangat erat.
“Biar apa pun terjadi, saya nak awak tahu, cinta saya pada awak tak pernah pudar. Malah semakin mekar. Sungguh saya tak nak persoalkan takdir. Tapi, andai kita bersua dulu, pasti kita dah bahagia, kan?” bisiknya.
“Dulu tu, saya tak menulis lagi. Jadi, awak tak mungkin kenal Ann Rahana kot. Saya baru lagi menulis ni, jadi awak kenal Ann Rahana dan awak kenal Anahara Rahman dan hari ni, kita berada di sini,” balasku mengusik dia.
Mukhlis menolak bahuku lembut. Mata kami bersabung lagi. “Buat lawak ya?” tanya dia sambil ketawa kecil.
Aku hela nafas lega. Setidak-tidaknya senyuman ini menjadi milikku buat masa ini. Tapi, menjelang beberapa hari lagi, aku bakal berkongsi lantas aku bawa telingaku rapat ke dadanya. Aku sembamkan wajah di dada itu buat pertama kalinya. Ingin mendengar detak jantung itu sementara irama itu hanya berbisik namaku.
“Sebelum Ana perlu berkongsi abang dengan orang lain, izinkan Ana rasai degupan jantung abang. Izinkan Ana laksanakan tanggungjawab Ana sementara abang milik Ana seorang ni,” ucapku menahan perasaan. Memanggilnya selayaknya dia.
Kala ini, pelukan Mukhlis semakin erat dan terlalu erat. “Abang dah lama bersedia untuk Ana. Izinkan abang buktikan cinta abang pada Ana setelah abang milikimu, sayang…,” balas dia pula dan aku mengangguk menerima kehadiran dia dalam diriku.
***
USAI majlis gilang gemilang antara Mukhlis dan Jeslina, aku mengeluh melepaskan lelah. Bukan mengeluh kerana sesal akan keputusan sendiri tapi lelah bila diasak oleh Puan Sri dan juga Nayli, adik perempuan Mukhlis. H

No comments:

Post a Comment