Monday 2 April 2012

Cerpen : Cinta Lompat

Lompat si adik lompat
Lompatlah jangan tinggi
Kalau tinggi sangat
Jatuh nanti sakit diri
“ Yana !”
Aku menoleh apabila terdengar nama aku dipanggil. Melihat Mirza, aku mencebik. Tak ada ke orang lain yang nak kacau aku? Mamat ni, mana aku pergi, ada saja dia mengikutnya. Pergilah main bola dengan kawan-kawan lelaki tu. Sibuk juga nak main dengan aku!
“Oiii…”
“Awak ni ganas betul lah! Cubalah jadi perempuan sikit. Nama Yana, nama lembut. Zayanah maknanya yang cantik! Tapi perangai… kasar mengalahkan orang gasar!”
“Sibuklah lu mamat! Lu apahal? Tak boleh tengok aku senang?”
Mirza terkebil-kebil memandang aku apabila aku menjerkah dia. Tak nampak, buaian cuma satu. Kalau dia nak naik, tunggulah giliran. Aku belum habis main lagi!
“Kita bukan apa. Kita takut awak jatuh! Nanti luka, siapa yang sakit?”
“Kalau aku jatuh, kaulah sambut. Kalau luka, kaulah balutkan. Apa guna ada kau? Kau kan nak jadi doktor? Kalau tak ada pesakit macam aku, siapa yang nak kau rawatkan?”
Mirza seperti berfikir.
“Orang lainlah jatuh. Orang lainlah yang luka tapi bukan awak. Kita tak akan biarkan awak jatuh dan luka seumur kita berkawan dengan awak.”
“Eleh… macamlah kau tu akan berkawan dengan aku, seumur hidup kau.”
Mirza hanya tersenyum. “Manalah tahu, kalau awak kahwin dengan kita.”
“Mimpilah!”
******
Lompat si adik lompat
Lompat macam katak
Dihati ini sudah tersemat
Nama abang yang kacak
Kad undangan reunion Sekolah Rendah Meru Impian, aku tatap. Sejak dua menjak ini, asyik betul termimpikan Mirza. Rupanya, aku nak dapat kad undangan ini. Agaknya, dia datang tak? Entah-entah dah jadi doktor agaknya?
“Kau pergi tak reunion tu, Yana ?” tanya Bilqis. “Sengaja mereka buat 29/2 ni. Kata mereka, buat empat tahun sekali, simbolik!”
Aku memandang Bilqis. Aku pun tak decide lagi nak pergi ke tak! 29/2 tu, memang aku free. Tak ada shooting pun waktu tu.
“Entah! Aku tak tahulah. Seganlah nak pergi.”
“Apalah nak disegankan. Bukannya kau hilang hidung! Kalau tak ada hidung, mungkinlah segan.”
“Apalah kau ni Qis. Dulu aku tomboy, sekarang aku macam lady like. Model pula tu! Haaa… mesti kena gelak punya. Dulu jalan terkangkang sekarang jalan berkepit. Tak ke kelakar!” Aku melihat wajah aku di kad reunion tu, dengan muka aku yang sekarang ni, sangatlah berbeza!!
Bilqis ketawa. “Biasalah, manusia. Berubahlah! Takkanlah selamanya kau nak jadi tomboy pula Yana . Entah mereka tu, perut boroi. Yang melawa dulu, gemuk tak ingat! Haaa… manalah tahu.”
Aku ketawa. Bilqis kalau bercerita, penuh dengan gaya ! Dulu masa sekolah rendah, dia selalu masuk pertandingan mari bercerita. Bilqis memang pandai menarik perhatian orang dengan ceritanya itu. Tak menahan betul lah minah ni.
Bilqis, satu-satunya kawan baik yang kekal bersama dengan aku. Kami satu kelas yang sama, dari sekolah rendah, sampai sekolah menengah dan sampailah masuk ke kolej juga. Cuma di kolej, dia ambil bahagian multimedia dan aku pula terjebak dalam mass communication.
Aku terlibat dalam bidang modelling sejak di kolej. Gara-gara selalu menjadi model untuk tugasan Bilqis, aku disunting syarikat model di ibu negara. Walaupun sibuk, aku masih selalu berjumpa dengan Bilqis.
“Atau sebenarnya kau takut nak jumpa Mirza?”
Glupp…
******
Lompat si adik lompat
Lompat kaki satu
Pada abang, adik ingat
Kenangan kita yang dulu
“ Yana !!!”
“Mirza, kau ni kalau panggil aku, tak boleh ke slow-slow sikit? Aku tak pekak lagilah!”
Mirza senyum-senyum. Mamat ini sungguh-sungguh annoying. Langkah aku terhenti dan menunggu dia datang kepada aku.
“Kita nak tolong awak bawa buku-buku latihan itu masuk dalam bilik guru.”
“Aku boleh bawalah. Kau ingat aku perempuan, aku tak kuat ke?”
“Bukan sebab tu! Kita tahu awak kuat tapi, kalau kita tolongkan boleh ringankan beban awak tu. Lagipun, sampai mengah kita tengok awak angkat buku tu.”
Untung ada yang nak menolong!
“Nah, separuh.”
Mirza sudah mendepakan tangannya.
“ Kan , ringan sikit tu.” Ujar Mirza.
“Yelah. Terima kasih.”
“Sama-sama.”
Aku dan Mirza berjalan beriringan ke bilik guru. Dulu aku ketua kelas. Mirza pula penolong ketua kelas. Aku dilantik menjadi ketua kelas kerana aku seorang yang garang. Cikgu Chonglah cakap.
“Nanti kita habis UPSR, awak nak sekolah mana?”
“Tak tahu lagi.”
“Awak tak masuk sekolah asrama?”
“Entah. Aku tak tahu. Kau?”
“Kita tunggu awak.”
“Kau tak payahlah tunggu aku. Aku tak pandai macam kau. Kau tu patut masuk sekolah asrama kalau kau nak jadi doktor.”
Mirza mula nak mencebik. “Kita kalau awak tak ada, kita tak ada kawan.”
“Kau jangan nak cengeng Danial Mirza. Kau tu lelaki, mana boleh kawan dengan perempuan. Aku dah ada kawan. Kawan aku Bilqis. Kau lelaki kau kenalah kawan dengan Rome ke, Johan ke, Adam ke! Mana boleh nak kawan dengan aku. Kalau aku masuk sekolah semua perempuan, kau nak tukar jantina ke?”
Mirza tersentak. “Tak adalah sampai nak tukar jantina. Kalau kita tukar jantina, tak kahwinlah kita dengan awak.”
“Balik-balik kahwin, balik-balik kahwin! Aku tak nak kahwin dengan kaulah labu!!!”
******
Lompat si adik lompat
Tinggi sampai ke awan
Rasa rindu amat sangat
Pada si dia yang menawan
Sekali lagi aku bermimpi dengan dia. Danial Mirza! Apa maksudnya? Adakah aku memang takut hendak berjumpa dengan dia? Adakah aku merindui dia? Atau… hanyalah kenangan zaman persekolahan semata-mata? Tak ada maksud yang lain!
“Kau ingat tak cincin tikam 20 sen dulu yang Mirza bagi dekat kau?”
“Ye, yang aku baling dalam longkang.”
“Berlari Mirza mengutip cincin itu dekat dalam longkang. Kau tahu, berapa duit belanja dia habis, semata-mata nak menikam benda itu sehingga dapat cincin tu.”
Aku terkejut. “Aku tak tahu hal itu Qis.”
“RM20 ringgit tau! Dekat 2 minggu dia tak makan sebab menikam benda tu sehingga dapat cincin untuk dia berikan pada kau.”
Aku tercengang. “Kasihannya dia. Tapi serius aku tak tahu!”
Aku ingat lagi, dulu sewaktu habis peperiksaan UPSR. Aku dan Bilqis duduk melepak dekat bawah pokok besar sebelah sekolah. Bawah pokok itu ada buaian di mana talinya diikat kepada sekeping papan. Agak kukuh juga pada orang yang kurus macam aku dan Bilqis. Kalau aku datang saja dekat situ, budak-budak tak berani nak dekat. Jadi buaian papan itu, hanya milik aku dan Bilqis.
Sewaktu aku sedang mengayunkan buaian itu, sambil berdiri, si Mirza datang kepadaku terkocoh-kocoh.
“Yanaaa!!!”
“ Yana , tu ar, peminat kau.”
“Hish sibuk betul lah mamat tu.”
“Yanaa!!”
“Apa kau nak?”
Aku melompat! Entah macam mana silapnya, aku mahu terjatuh dan Mirza sempat menyambut aku. Akhirnya, aku jatuh ke atasnya.
“Aduhh!! Awak okay ke Yana ?” Dia mengaduh tetapi dia masih bertanyakan keadaan aku. Betapa aku ini penting bagi dirinya.
“Ini semua kaulah punya pasal. Kalau kau tak jerit-jerit nama aku, mungkin aku tak jatuh macam ni.”
“Kita dah cakap dengan awak, Yana . Awak degil. Jangan lompat-lompat! Tapi awak nak juga lompat. Nasib baik, kita sempat sambut awak. Kalau tidak, mesti luka.” Mirza mula hendak bersyarah.
“Diamlah. Kau panggil aku kenapa?”
“Hish Yana! Kau ni garang sangatlah.” Bising Bilqis.
“Kau diamlah Qis. Aku tak cakap dengan kau.”
Entah mengapa dulu aku dengan Mirza, macam aku baru sudah makan daging harimau. Garang yang amat!
“Sebabkan hari ini hari terakhir kita bersekolah di sini, kita nak cakap dekat awak. Kita suka dekat awaklah Yana . Walaupun awak garang dengan kita, kita tetap suka awak. Walaupun awak marah dengan kita, kita tetap suka awak. Walaupun kita tahu awak tak suka kita, kita tetap suka awak. Apa-apapun, kita tetap suka awak! Nur Zayanah Afrina, kita nak awak menjadi isteri kita, nanti bila kita dah besar. Ini cincin kita! Kita janji, bila kita dah jadi doktor, kita akan bagi cincin lebih besar dan lebih cantik daripada ini.”
Mata aku terbeliak. Aku terkejut! Pada aku usia 12 tahun, dengan perangai aku yang macam lelaki, Danial Mirza melamar aku!
Dan…
Pupppp!!!
Aku melemparkan cincin itu ke dalam longkang dan aku berlari.
“Qis!! Cepat van dah sampai!” jerit aku, dan berlalu meninggalkan Mirza. Aku tak tahu pula, dia masuk ke dalam longkang itu dan mencari cincin itu balik!
“Qis!!!”
“Huhh… kau ni, buat terkejut aku saja. Sudahlah aku ni sakit perut! Nak pergi keliniklah.”
“Kejap lagilah kau pergi kelinik. Jom… ikut aku pergi beli cincin!”
Bilqis mengerut dahinya.
“Aku nak lamar Danial Mirza!!”
“What?!!! Serius?”
*******
Lompat si adik lompat
Abang berdiri di sebelah
Abang tidak penat
Tunggu adik sampai lelah
Tradisi orang Irish, apabila seorang perempuan melamar seorang lelaki pada tarikh 29 Februari, iaitu tahun lompat, katanya akan berkekalan sehinggar akhir hayat. Aku tak percaya! Bagi aku, jodoh itu di tangan tuhan.
Tradisi ini terjadi apabila St. Bridget mengatakan bahawa perempuan lebih berhak memilih lelaki sebagai pasangan hidup, jadi, dalam empat tahun sekali, diberikan peluang untuk perempuan memilih lelaki mana yang mahu dikahwini.
Hemm… Saidatina Khatijah tidak pernah hendak menunggu leap year, baru nak melamar Rasulullah SAW. Kekal bahagia jugakan!
Mengarut!
“Qis, kau rasa Mirza dah kahwin?” tanya aku, sewaktu menghampir dewan sekolah. Huhh… entah mengapa, debar rasanya hati aku ini.
Aku tak tahu, apa reaksi Mirza, tiba-tiba aku menghulurkan kotak cincin ini. Paling teruk pun, dia akan cakap aku gila sebab melamar dia. Huh.. dia tu lagi gila sebab melamar aku yang baru berusia 12 tahun!
Aku ingat… selepas peristiwa itu, aku langsung tidak pernah bertemu dengan Mirza. Langsung tak pernah! Lenyap terus!! Dengar cerita, dia masuk sekolah berasrama penuh. Lepas itu, aku tak dengar dah cerita tentang dia. Dia, budak pandai. Ibu bapanya seorang doktor. Dia datang ke sekolah itu sebab bapanya menjadi doktor di hospital kerajaan di Ipoh . Tamat saja UPSR dulu, bapanya berpindah ke hospital swasta di Kuala Lumpur .
“Manalah aku tahu, Yana . Aku sendiri tak pernah langsung jumpa atau terserempak dengan dia. Macam mana kalau belum?”
“Aku masih ada peluang. Dia nak ke dekat aku?”
“ Yana ! Siapalah yang tak mahu dekat kau? Kau tu yang jual mahal.”
Aku tersenyum. Entah apa yang aku tunggu? Bulan bintang? Matahari? Atau planet Pluto?! Mungkinkah aku menunggu Danial Mirza?
“ Yana . Nur Zayanah Afrina.”
“Haiii… Yana !” Jerit salah seorang pendaftar di situ. Aku melihat nametagnya di dada, aku tersenyum.
“Sofea!” Aku memeluknya. Sofea merupakan antara pelajar yang aktif. Dialah yang bersusah payah menjejak dan mengumpulkan kami semua pada hari ini. “Wahh… berapa bulan ni?”
Sofea tersengih. “6 bulan! Menendang-nendang ni haaa…”
Aku ketawa. “Dah berapa orang anak?”
“Masuk ni yang ketiga!”
Mata aku terbuntang. Err… aku satu pun belum. Aktif betul! Luar dalam aktifnya. Aku ketawa sendiri.
“Siti Nur Bilqis.” Ujar Bilqis sewaktu dimeja pendaftaran.
“Laaa… kau ke Qis!” Jerit Sofea lagi. “Wahh… director ni! Kalau ada filem baru kau buat, panggillah aku, Qis. Aku boleh jadi, perempuan yang nak beranak dekat hospital!”
Bilqis ketawa. Aku tersenyum. Kelakarlah minah ni.
“Hemm… Mirza dah datang?” tanya aku.
“Laaa… Yana ! Kau tak tahu ke?”
“Tak tahu apa, Sofea?”
“Mirza sudah meninggal dunia. Alaa… masa kita habis UPSR. Dia kan lemas, lemas dalam longkang besar tu.” Cerita Sofea.
Dan aku… pengsan, sempat dipangku seseorang.
******
Lompat si adik lompat
Lompat dalam guni
Kalau abang lambat
Adik cabut lari
“ Yana !!!”
Aku tersedar. Aku mendengar suara Mirza memanggil aku.
“Aku tak mahu bermimpi lagi!” jerit aku. “Tolonglahh… jangan panggil aku lagi!!”
“ Yana !!!”
Suara itu sangat dekat.
“Aku tak mahu Mirza mati!! Aku tak sempat nak minta maaf! Kalau kau hidup, sure aku terima lamaran kau!”
“Yanaa!!! Buka mata awak.”
Dan aku membuka mata, melihat Mirza di hadapan aku. Aku segera bangkit. Dia memangku kepala aku tadi. Tersenyum saja memandang aku. Bilqis di sebelah aku.
“Kau ni, buat aku cuaklah Yana !! Nasib baik ada Mirza!”
Aku memandang Mirza lagi. Lagi… dan lagi! Tak puas memandangnya. Orangnya sama macam dulu. Dulu memakai cermin mata berbingkai tebal, sekarang lebih nipis. Dulu berbadan agak gempal, sekarang sudah kurus dan tegap. Dulu… agak cerah. Sekarang masih cerah. Dulu, lesung pipitnya tak nampak… sekarang semakin dalam.
“Nasib baik kita sempat memangku awak tadi, kalau tidak, kena kepala awak di lantai. Mengantuk sangat ya, sampai tak sempat cari katil?” Mirza tersenyum.
Tak syak lagi, dia memang Danial Mirza. Tapi… si Sofea cakap tu?
“Errkk…” Aku memandang Sofea. “Ini Mirza?” tanya aku.
“Ohh, aku ingat Ahmad Mirza. Kan dekat sekolah kita dulu ada dua orang nama Mirza.” Jawab Sofea.
Aku menepuk dahi. Hampehhh betul! Sia-sia saja aku pengsan. Hishhh buat malu kaum sedunia saja.
“Gila kau, sebut nama Mirza kuat-kuat.” Bisik Bilqis ke telinga aku.
“Haaa…” Alamak! Apa aku cakap? Aku sudah mengetap bibir aku. Aku lupa! Alaaa… masa ni pula lah, aku nak merepek. Masa ni pula, tiba-tiba tak ingat.
“Kau cakap, kau nak kahwin dengan Mirza.”
“What??!!!!”
Alamak… malunya!
“Abang… ini kotak ubat yang abang minta tu?” Tiba-tiba seorang perempuan menghulurkan kotak ubat kepada Mirza.
“Thanks. Yang duduk di kerusi dulu, nanti abang datang.” Ujar Mirza.
Aku tergamam. Isteri?
“Biar saya tengok, ada luka tak.” Ujar Mirza, masih perihatin macam dulu.
“Err… aku balik hotel dulu ar, nanti aku datang balik! Rasa tak ada luka Cuma pening kepala sikit! Tak ada apalah.” Aku bingkas bangun, lari…
“ Yana !!!” Mirza sudah menjerit. Aku tak hirau…
Malu gila!
******
Lompat si adik lompat
Lompat ke dalam hati
Jangan tersalah lompat
Nanti merana diri
“Yanaaa!!! Tunggu dulu!!”
Aku mahu masuk ke dalam kereta, tapi kunci… alaaaa kunci kereta dengan Bilqis!! Err.. teksi! By the time aku nak cari teksi, Mirza sudah mendapatkan aku. Mana pula nak lari? Akhirnya, langkah aku terhenti dan berserah…
“Saya nak masuk dalam balik. Kunci kereta dengan Bilqis.” Aku mahu berpatah balik.
“ Yana !” Mirza menarik tangan aku, menghalang aku pergi. “Awak nak pergi mana, mulai sekarang, biar kita yang bawa.”
Aku memandang dia.
“Jangan nak merepeklah Mirza. Ini bukan zaman sekolah.”
“Yana! Dengar cakap saya dulu…”
“Awak dah ada binilah!”
“Bini? Siapa?” Mirza mengerut dahinya.
“Tadi tu!”
Mirza ketawa. “Lompat si adik lompat, lompat jangan terperanjat, bila hati sudah melekat, cemburu tak ingat!!”
“Ini bukan masa nak pantun-pantunlah!” Aku geram! Hish mamat ni…
“Itu adik saya. Alah, dulu. Masa kita darjah 6, dia darjah 4 tu!”
Aku teringat. Memang mereka memanggil dia dengan panggilan yang kerana dia, anak ke-4! Aku menepuk dahi. Dah dua kali malu dah aku ni!!
“Kita masih suka dekat awaklah Yana. Walaupun awak masih garang dengan kita, kita tetap suka awak. Walaupun awak masih marah dengan kita, kita tetap suka awak. Walaupun kita tahu awak masih tak suka kita, kita tetap suka awak. Apa-apapun, kita masih tetap suka awak! Nur Zayanah Afrina, kita nak awak menjadi isteri kita, sekarang, sebab kita dah besar. Ini cincin kita! Dulu, kita belum jadi doktor, awak baling cincin kita dalam longkang. Kita cari, tak jumpa-jumpa! Sekarang, kita dah jadi doktor, kita beli cincin baru. Cincin ni mahal tau, kalau nak baling juga, jangan dalam longkang. Bagi kat kita balik, nanti kita bagi orang lain!”
“Heyyy… jangan!” Cepat saja aku mengambil cincin itu dan sarung ke jari aku.
Memang tak malu!
Mirza ketawa.
“Tapi awak silap Mirza…”
“Kenapa?”
“Kita bukan tak suka awak… kita sudah sukakan awak, dari dulu lagi, cuma kita tak tahu nak cakap!”
Mirza senyum lagi. “Kita tahu… mana cincin kita yang awak beli tu?”
Aku mengerut dahi. Cincin? Mana dia tahu aku ada beli cincin untuk dia?
“Bilqis!!!!” Aku sudah menjerit.
Mirza ketawa. Bilqis sudah berlari… tak jejak tanah.
“Tak jumpa konon!!!” jerit aku sambil mengejar Bilqis yang tergelak-gelak… sakit hati betul!
Nak dijadikan cerita, sewaktu aku pergi membeli cincin untuk Mirza, Bilqis sakit perut. Jadi selepas membeli cincin, aku menghantar Bilqis ke kelinik. Aku tak mahu menunggu dia sebab dia kata just nak ambil ubat. Mana aku tahu, kelinik yang aku pergi itu kelinik Danial Mirza. Kalau aku tahu, tak adalah aku dimalukan hari ini!!
Siot betul Bilqis. Patutlah, muka orang sakit perut lepas jumpa doktor, lain macam saja aku tengok. Happy nampak! Rupanya… dia buat plan!!
“Macam mana awak tahu saiz jari kita?” tanya Mirza.
“Orang kata, kalau saiz ibu jari kita, sama dengan saiz jari manis lelaki, maknanya ada jodoh.” Jawab aku.
“Ye ke?” tanya Mirza, beria-ia dia mencuba cincin yang aku beli padanya.
“Ye kera…” jawab aku. Heh… teringat zaman sekolah dulu. Bila orang tanya ye ke? Mesti nak jawab ye kera…
“Hampeh!!!” Mirza senyum.
Aku tersengih… bahagia, di tahun lompat! Akhirnya, cincin itu berpadanan.
Lompat ke mana pun, kalau sudah jodoh… tidak ke mana. ~ Syamnuriezmil

1 comment: