Tuesday 27 December 2011

Cerpen-MImpi Yang Pasti


 
Nama Pena : Iskandar Mizhar

Sebaik sahaja Cikgu Badlisyah menamatkan pengajaran Matematik Tambahan pada jam dua petang, aku segera bergegas melangkah menuju ke garaj basikal yang terletak berhampiran dengan pintu pagar utama sekolah. Segala hiruk-pikuk yang berlaku di sepanjang perjalananku ke garaj itu langsung tidak kuendahkan. Niat di hatiku ingin segera pulang ke rumah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari sekolahku.

Setiba di rumah, aku terus disapa oleh ayah yang sedang menyusun barang-barang dan peralatan di dalam van lamanya itu.

"Wan cepat bersiap, hari ini kita akan berniaga di Pulau Serai. Kalau lambat sampai nanti, kelam-kabut pula jadinya," ujar ayahku yang telah pun mencecah usia setengah abad itu.

"Baiklah ayah. Wan nak mandi dan bersolat dulu," aku segera menuju ke bilikku yang terletak bersebelahan dengan dapur rumah itu.

"Syahrul mana mak? Wan tak nampak pun dia dari tadi," aku bertanyakan ibuku perihal adik lelakiku yang hanya muda tiga tahun dariku. Kebiasaannya dia terlebih dahulu sampai ke rumah. Kami memang belajar di sekolah yang sama tetapi berlainan waktu pulang. Hal ini kerana aku berada di tingkatan lima dan dikategorikan sebagai menengah atas manakala dia pula berada di tingkatan dua iaitu kategori menengah rendah.

"Syahrul pulang lewat hari ni. Dia ada kelas tambahan katanya tadi. Syahrul tak beritahu kamu ke?" jawab ibuku seraya kembali bertanya kepadaku.

"Syahrul terlupa nak beritahu Wan agaknya. Habis tu adik-adik macam mana?" aku menyoal kembali ibuku yang sedang menyiapkan segala peralatan dan bahan makanan yang hendak dibawa nanti.

"Maisara dengan Syafiq tinggal di rumah Pak Ngah Dollah sekejap sementara menunggu Syahrul pulang nanti. Usahlah kamu risau. Pandailah dia orang menjaga diri. Semuanya dah besar panjang pun. Hah, kamu tu tercegat apa lagi? Cepatlah bersiap. Nanti bising pula ayah kamu tu," ibu menggesa aku agar segera bersiap setelah menjawab pertanyaanku terlebih dahulu.

Begitulah rutin harian yang terpaksa aku tempuhi dalam menjalani kehidupan remajaku. Tamat sahaja sesi persekolahan, aku akan mengikut ayah dan ibuku ke beberapa destinasi yang telah ditetapkan untuk membantu mereka berniaga di pasar malam. Sementara itu, adik lelakiku iaitu Syahrul yang belajar di tingkatan tiga akan menjaga dua lagi adikku yang masih berada di sekolah rendah iaitu Maisara dan Syafiq di rumah.
Sememangnya, aku langsung tidak mempunyai masa dan peluang untuk bersama-sama rakan sebayaku. Aku hanya mampu mendengar mereka bercerita tentang pertandingan bola sepak yang berlangsung di sekolah, rombongan mereka berkelah di hujung minggu dan pelbagai aktiviti menarik yang dilakukan. Bagaimanapun, aku tidak pernah menyesal dengan apa yang aku alami. Aku menganggap semua itu merupakan suatu tanggungjawab yang mesti aku tunaikan sebagai seorang anak. Tambahan pula, segala pengalaman yang aku lalui itu menjadikan diriku bertambah matang seiring dengan perkembangan usiaku.
Kebiasaannya, aku mengikut ibu bapaku berniaga di pasar malam pada setiap hari kecuali hari Ahad dan Khamis kerana tapak pasar malam pada hari-hari tersebut agak jauh. Selalunya, kami akan bertolak pada jam tiga petang dan tiba di tapak jualan pada jam empat atau lima petang mengikut lokasi tapak pasar malam tersebut.

Gerai kami menjual pelbagai jenis juadah seperti mi dan bihun goreng, bihun sup, bubur nasi dan juga beberapa jenis kuih muih. Semua jenis juadah ini disediakan sendiri oleh orang tuaku. Sejak lebih sepuluh tahun dahulu, jualan di pasar malam inilah yang menjadi sumber pendapatan utama kami sekeluarga.
Menjengah jam dua belas tengah malam barulah kelibat aku dan kedua orang tuaku tiba di rumah. Aku segera menuju ke bilik mandi sebelum mula menghadap meja belajar untuk menyiapkan segala kerja sekolahku pada hari tersebut.
‘Sampai bila aku nak macam ni. Peperiksaan SPM lebih kurang tiga bulan sahaja lagi,’ perkara inilah yang asyik bermain dalam fikiranku sejak kebelakangan ini.
Telah lama aku memikirkan tentang perkara itu. Tetapi aku tidak mempunyai kekuatan untuk bercakap mengenainya dengan ayahku. Lebih daripada itu, aku tidak sanggup melihat ayah dan ibuku bertungkus-lumus mencari nafkah untuk menyara kami sekeluarga sedangkan aku hanya mampu melihat.
Tetapi, bagaimana pula dengan masa depanku?. Sebagai anak sulung, aku harus menjadi contoh teladan terbaik dalam semua aspek buat ketiga-tiga orang adik. Aku perlu membuktikan kepada adik-adikku walaupun mereka tidak dilimpahi kemewahan, namun kejayaan pasti akan dikecapi jua jika kita berusaha. Di samping itu, aku juga tidak mahu mengecilkan hati orang tuaku. Aku tidak mahu dikatakan mementingkan diri sendiri.

**********************************

"Kenapa muka kau macam orang ada masalah je aku tengok? Termenung sana. Termenung sini. Kalau ada masalah, kongsilah dengan aku. Mana tahu mungkin aku boleh tolong," ujar Iskandar kepadaku ketika kami sedang menikmati makanan pada waktu rehat di kantin sekolah. Iskandar merupakan kawan baikku sejak dari sekolah rendah.
" Entahlah Is, aku pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Aku seolah-olah berada dalam dilema sekarang. Makin lama aku fikir hal ni, makin tertekan aku jadinya," aku membalas.
"Baiklah. Macam ni, sekarang kau terangkan pada aku satu per satu. Apakah perkara pokok yang mengganggu kau sekarang sebenarnya,"Iskandar menyambung. "Aku yakin setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiaannya. Apa yang penting kita yang harus bijak menguraikan ikatan yang menyimpulkannya itu," Iskandar tak pernah putus asa untuk membantuku. Aku sangat bersyukur kerana dikurniakan seorang rakan yang layak digelar sahabat. Sahabat yang kita cari tatkala kesusahan, sahabat yang sama-sama bergelak ketawa di saat gembira dan sama-sama menangis di saat duka.
"Sebenarnya macam ni. Kau tahu kan hampir setiap hari selepas sesi persekolahan aku akan mengikut ayah dan ibuku berniaga di pasar malam. Tengah malam baru aku tiba di rumah. Tidur aku tak pernah cukup, apatah lagi nak mengulangkaji pelajaran. Memandangkan peperiksaan SPM tinggal kurang tiga bulan saja lagi, kadang-kala aku ada terfikir untuk berhenti membantu mereka buat seketika," aku cuba juga menjelaskan satu per satu kepada teman karibku itu.
"Ok. Tapi aku tak nampak di mana masalahnya? Kau beritahu sahaja ayah kau tentang perkara ini," ujar Iskandar.
"Itulah masalahnya. Aku tak sampai hati nak beritahu mereka. Malah, aku risau ayah aku tak mengizinkannya. Kau tahulah, dengan adanya aku membantu mereka pun masih banyak lagi kerja yang tak selesai setiap malam. Macam mana pula keadaannya kalau aku tak menolong mereka? Tambahan lagi kalau mak aku tak sihat. Tak kan ayah aku nak berniaga seorang diri," begitu panjang lebar sekali aku membalasnya sambil menghabiskan baki nasi lemak dalam pingganku itu.
"Kalau nak mengupah pembantu, tentu pendapatan mereka akan berkurangan. Tanpa pembantu sekarang pun pendapatan yang diperoleh sekadar cukup makan sahaja," aku menambah lagi.
"Jadi sekarang ni keputusan terletak di tangan kau. Kau kena segera berbincang dengan ayah kau untuk menyelesaikan masalah ni. Aku pun terfikir juga bagaimana keadaan kau nak mengulangkaji pelajaran di rumah jika setiap hari menjelang tengah malam baru kau pulang. Aku rasa ayah kau mesti faham kalau kau jelaskan betul-betul perkara ni," ujar Iskandar tanpa jemu menyatakan pendapatnya kepadaku.
"Baiklah, aku akan cuba untuk berbincang dengan mereka secepat mungkin. Apa pun, terima kasih banyak-banyak Is sebab sudi berkongsi masalah aku ni," aku tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada sahabatku itu atas keprihatinannya kepadaku.
Sambil menghirup baki teh tarik yang masih tinggal di gelasnya itu, Iskandar membalas,"Apalah sangat setakat nak bagi nasihat macam ni. Kau pun dah banyak bantu aku dalam pelajaran terutamanya subjek Matematik Tambahan. Beruntung aku dapat berkawan dengan Raja Matetmatik sekolah. Haha," Iskandar sempat lagi bergurau denganku sambil kami beransur-ansur bergerak meninggalkan kantin menuju ke kelas.
"Kau tu pula pakar rujukan Biologi aku. Maklumlah, bakal doktor bedah terkemuka negara suatu hari nanti," aku mengenakannya kembali.
Sememangnya, setiap pelajar dalam kelas kami mempunyai subjek kegemaran masing-masing. Aku sendiri amat meminati subjek Matematik Tambahan dan selalu memperoleh markah tertinggi dalam setiap ujian yang diadakan. Manakala Iskandar pula lebih ke arah subjek biologi. Dia selalu jauh meninggalkan pelajar-pelajar lain dalam setiap ujian yang diadakan dan cita-citanya memang ingin bergelar doktor bedah suatu hari nanti. Sebagai sahabat aku sentiasa mendoakan yang terbaik untuknya dan aku percaya cita-citanya pasti tercapai kelak.
Sudah menjadi kelazimanku pulang agak lewat pada setiap hari Khamis kerana ayah tidak berniaga pada hari tersebut. Selalunya, aku dan Iskandar bersama beberapa lagi rakan sekelas akan menelaah pelajaran di perpustakan sekolah sehingga jam lima petang.
Sebelum bergerak pulang ke rumah masing-masing pada petang itu, Iskandar sekali lagi membuka topik tentang masalah yang membelenggu diriku.
"Aku harap kau mengambil keputusan yang bijak dengan segera berbincang bersama orang tua kau. Aku yakin mereka akan memahami jika kau terangkan dengan betul," Iskandar membuka bicara.
"Insya Allah. Aku akan cuba dalam masa yang terdekat," hanya itu yang mampu kubalas. Sedangkan dalam hatiku terdetik suatu ketidakpastian. Apakah yang sebetulnya perlu aku lakukan?
"Aku yakin jika niat kau ikhlas, Allah pasti akan mempermudahkan hamba-Nya itu. Kau masih ingat lagi kata-kata Ustaz Nazri sebelum ini kan?"
Aku sekadar menganggguk sambil segera menuju ke arah basikalku. Sambil menuntun basikal masing-masing ke pintu pagar sekolah, aku tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Iskandar kerana tidak pernah jemu menyokongku. Setelah itu, kami mula mengayuh basikal mengikut haluan masing-masing.
Dalam kepalaku hanya ada satu perkara ketika itu. Malam ini selepas makan malam aku perlu segera menyuarakan isi hatiku kepada ayah, bisikku sendirian sambil kaki makin laju mengayuh pedal basikal agar segera sampai di rumah memandangkan langit semakin mendung. Aku tidak mahu dibasahi hujan kerana badanku sangat sensitif terhadap cuaca sejuk dan air hujan. Jika badanku terkena hujan, aku pasti akan demam dengan teruk. Pernah pada awal tahun ini aku demam sehingga tidak boleh bangun selama seminggu. Selama seminggu itu juga aku tidak dapat membantu mak dan ayah di pasar malam. Aku tidak mahu perkara itu terjadi lagi lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, ia pasti akan menganggu aku untuk menghadapi peperiksaan SPM dan menyusahkan orang tuaku.]

**************************************

"Wan, dah siap mengemas? Ayah ada hal nak cakap ni.," ayah tiba-tiba muncul di dapur membuatkan aku serba tak kena.
"Dah siap. Ada apa ayah? Macam penting je bunyinya," aku bertanya setelah duduk di hadapan ayah di meja makan itu.
"Macam ni. Ayah dah berbincang dengan emak kamu untuk mengambil seorang pembantu untuk menolong ayah di berniaga di pasar malam. Jadi, lepas ni Wan tak perlu bersusah-payah menolong kami lagi. Wan boleh tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran, maklumlah peperiksaan SPM tinggal beberapa bulan saja lagi kan?" kenyataan ayah yang panjang lebar itu membuatkan aku tercengang seketika antara percaya atau tidak.
Sungguh tak kuduga rupa-rupanya ayah telah merancang tentang perkara ini sebelum sempat aku menyuarakannya. Aku terasa seperti ingin memeluk ayah dan mengucapkan terima kasih kerana begitu memahami keadaan aku ini.
"Ayah, Wan sebenarnya telah lama hendak berbincang tentang perkara ini. Tapi Wan tak sanggup untuk menyusahkan ayah lagi. Dengan mengupah pembantu baru, pendapatan ayah pasti akan berkurangan, macam mana…"
"Wan tak perlu risau. Ayah dah berfikir masak-masak tentang perkara ini. Masa depan Wan lebih penting daripada wang ringgit, malahan ia tiada harganya untuk dinilaikan. Ayah tak mahu menyesal di kemudian hari kerana sanggup menggadaikan masa depan anaknya sendiri," ayah memintas kata-kataku sebelum sempat aku menghabiskannya.
"Betul tu Wan," tokok emak menambahkan lagi rasa ketidakpercayaanku itu. "Mak dah pun jumpa dengan Haji Ismail pagi tadi. Dia dah setuju mengizinkan anaknya, Musliha bekerja dengan ayah walaupun upahnya tidak seberapa."
Mukaku berkerut kehairanan. Bukankah Musliha itu tinggal di Johor Bahru bersama suaminya? Musliha sebenarnya sebaya usia denganku tetapi dia tidak menghabiskan persekolahannya kerana terjebak dengan jerat percintaan di usia muda. Bapanya telah mengambil keputusan untuk mengahwinkannya bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
"Musliha telah berpisah dengan suaminya bulan lepas. Dengar kata bekas suaminya terlibat dengan najis dadah. Itulah yang menjadi punca perceraian mereka. Apapun, Musliha itu baik budaknya. Mungkin dia telah sedar akan kesilapannya dulu," emak menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku sebelum sempat aku bertanya.
"Musliha akan mula bekerja pada hari Isnin ini. Jadi esok merupakan hari terakhir Wan mengikut ayah berniaga,"ayah memberitahuku.
"Baguslah kalau macam tu ayah. Bolehlah Wan mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan peniaga kita kat sana esok," aku begitu gembira.
"Kamu ni Wan macam dah tak nak tolong ayah berniaga lagi lepas ni."
"Bukan macam tu ayah. Wan bercadang sebaik sahaja tamat peperiksaan SPM, Wan akan kembali membantu ayah berniaga,"
"Ayah tak kisah. Kalau Wan dah merancang macam tu, ayah ikutkan saja."

*************************************
Malam sudah larut. Aku masih tidak dapat melelapkan mata seperti biasa. Aku terbaring di katilku. Puas dipejam-pejamkan mataku, tetapi tidak berhasil. Sebenarnya hatikulah yang jaga. Hatiku yang secebis itu menguasai seluruh jasadku hingga mengganggu kebiasaan tidurku. Di ruangan anak mataku tergambar peristiwa sepanjang hari ini. Aku tidak putus mengucapkan kata syukur pada-Nya. Mataku terkebil-kebil merenung siling sambil teringatkan kata-kata Iskandar siang tadi.
"Insya Allah kalau niat kita ikhlas, Allah pasti akan mempermudahkan hamba-Nya itu." Kata-kata itu terngiang-ngiang di telingaku.
Betapa aku bersyukur kerana mempunyai ayah dan ibu yang begitu prihatin terhadap anak-anaknya. Lihatlah keajaiban yang telah Allah tunjukkan tadi. Aku tidak perlu bersuara untuk menyatakan hasratku, sebaliknya ayah terlebih dahulu sudah pun menunaikannnya. Terima kasih Tuhanku. Sesungguhnya, aku akan memanfaatkankan peluang ini sebaik mungkin.
Sejak usiaku menginjak ke alam remaja, aku punya mimpi yang besar. Mimpiku untuk melihat kebahagiaan keluargaku. Kebahagiaan ibu dan ayah mengharungi hari tua mereka tanpa perlu lagi bertungkus-lumus mencari nafkah. Kebahagian adik-adikku dalam mengecapi kejayaan duniawi dan juga ukhrawi.
Kini aku yakin, mimpi yang aku cipta itu akan menjadi kenyataan. Mimpiku itu bukan lagi sekadar mimpi pengulit lena di malam hari, tetapi mimpiku itu adalah mimpi yang pasti.

No comments:

Post a Comment