Tuesday 27 December 2011

Cerpen-Impian Kasih Farisha

~ bukan sekadar Kisah Cinta..

” Jordan? ” Terbeliak mata Syamsul mendengar nama tersebut.
” Iyelah. asal, kau tak percaya? ” Balas Irman selamba sambil tersengih. Girang hatinya tak terkata sebaik menerima berita penerimaan belajarnya di Universiti Yarmouk, Jordan. Memang itu hasratnya dari sekolah rendah. Mahu menjejak kaki dan mendalami bidang Syariah Islamiah di bumi anbiya’ tersebut.
” Takdela tak percaya..cuma aku tak sangka kau masih tekad dengan impian lama kau tu. anyway, tahniah bro..” Syamsul tersenyum, kemudian menyambung.
” Aku jela yang masih kat sini..” Satu keluhan berat dilepaskan. Syamsul kembali melempar pandang jauh ke tengah sawah. Petang itu Syamsul dan sahabat baiknya, Irman menghabiskan masa berbual di pinggir sawah padi. Motosikal LC merah diparking betul-betul di bawah perdu pokok pisang. Petang itu damai, namun jiwa Syamsul tidak tenteram. Irman serba salah.
” Kau masih ingatkan pasal …” Kata-kata Irman tersekat di situ. Syamsul masih membisu. Matanya masih memandang jauh ke depan. Kosong. Melihat tiada respon dari Syamsul, Irman menyambung kata.
” Entahlah Syam. Aku pun tak tau nak cakap camne. Tapi aku ingat, kau terima jelah tawaran ke Politeknik tu. Rezeki kita kadang-kadang kita tak tau kat mana..”
” Bukan pasal rezeki Man. Kau pun tau kan..camne aku punya impian kat Tasya. Aku dah plan macam-macam. Aku dah usaha keras. Tapi nak buat macam mana .. Dia pandai, tak macam aku..” Kedengaran nada kecewa yang menebal dari kata-kata Syamsul.
Syamsul mengimbau kenangan setahun yang lepas. Di Sekolah Menengah Sri Perdana , semua orang tahu yang Syamsul menyukai rakan sekelasnya, Farisha. Cuma Farisha -yang lebih mesra dipanggil Tasya- sahaja yang tidak melayan. Dari PMR sehinggalah trial SPM, bermacam-macam cara digunakan untuk memikat Farisha. Sehinggalah beberapa bulan sebelum SPM, Farisha mengirim surat kepadanya. Dalam surat tersebut Farisha memberikan kata dua kepadanya, samada membuktikan dirinya layak memasuki Universiti ataupun lupakan sahaja niatnya untuk memiliki hati Farisha. Cabaran tersebut disahut dengan penuh yakin dan secara drastik, Syamsul melipatgandakan usaha demi memastikan dirinya memperoleh keputusan yang cemerlang sekaligus mendapat tempat di Universiti.
Namun impiannya musnah apabila kesemua permohonannya ke Universiti tidak diterima. Keputusan SPM juga tidak seberapa. Farisha bertegas untuk menutup hatinya daripada menerima Syamsul. Akhirnya Syamsul hanya mempunyai dua pilihan, samada menyambung ke Politeknik ataupun bekerja.
” Dah la Syam. Universiti tu bukan soal pandai ke tak pandai. Mungkin kau boleh berjaya dalam bidang wiring tu kat Poli. Sape tau? ” Irman berusaha menaikkan semangat sahabatnya. Dia tahu, Syamsul sangat kecewa kerana kalah dengan cabaran Farisha. Lebih kecewa, dia bukan sahaja gagal ke Universiti tetapi juga gagal menawan hati Farisha.
Syamsul senyum kelat.
” Poli tu takde hal. Banyak Poli atas dunia ni.. tapi, Tasha tu sorang je…”
Irman tepuk dahi.
” Adui. Lantak kau la Syam. Dahla, jom gerak. Dah nak maghrib ni..”
Deruman enjin LC meninggalkan tempat lepak mereka di pinggir sawah padi. Petang itu menjadi detik terakhir pertemuan mereka sebelum Irman berhijrah ke Timur Tengah, manakala Syamsul pula akan meneruskan pengajian di Politeknik.

**********
5 Tahun Kemudian.

” Hoi! Mana kau nak lari ha?!! ”
Jeritan tersebut menjadikan suasana di Warung Santai bertukar gamat. Seorang pemuda awal 20-an berdiri gagah sambil bercekak pinggang. Matanya merah merenung ke dalam kedai makan tersebut. Seorang lelaki berbaju merah yang tadinya sedang rancak berbual serta merta angkat kaki. Babak kejar mengejar berlaku. Pemuda tersebut kelihatan bagai singa lapar yang tidak akan melepaskan mangsanya.
Belum sampai ke hujung jalan, lelaki berbaju merah tadi berjaya ditangkap. Tangannya dikilas ke belakang oleh pemuda tersebut. Dia mengaduh keras.
” Sabar Zul..lu tak tau citer sebenar..wa tak terlibat semua ni..” Lelaki berbaju merah berusaha menjelaskan keadaan.
” Ah! Kau jangan nak macam-macam dengan aku. Semalam Chong kata kau main daun dengan dia.. kau cakap kau tak kenal? ”
Lelaki tersebut hilang kata. Selama ini dia licik menipu duit pelanggannya, namun kali ini nasibnya tidak baik. Pemuda berbadan tegap ini langsung tidak takut akan pengaruhnya.
” Wot-wot-wot…rileks brader.. lu da cukup tegak ke nak bergasak kat sini?! ” Sergahan kuat dari belakang membuatkan si pemuda bernama Zul melepaskan kilasan tangan lelaki berbaju merah. Dia berpaling menghadap tiga lelaki yang tiba-tiba muncul. Dia tahu lelaki-lelaki itu adalah anak buah lelaki berbaju merah.
” Habis..kau ingat aku goyang? ” Sepantas kilat satu tumbukan padu singgah ke dagu salah seorang dari lelaki tersebut. Darah terpercik dan lelaki tersebut rebah tersungkur. Dua rakannya yang baru hendak bertindak seolah tergamam. Salah seorangnya gagal menahan sepakan layang dari Zul. Tepat mengenai tengkuk dan jatuh tersembam. Seorang lagi terus membuka langkah seribu.
Melihat lawannya rebah, Zul lantas melangkah ke arah lelaki berbaju merah tadi. Lehernya dicekik kuat sehingga lelaki tersebut tercungap-cungap menahan nafas.
” Kau dengar sini baik-baik. Ini Zul, tak pernah goyang dengan sape-sape. Lagi sekali kau buat hal, kau lingkup.Faham?! ”

*******************
Morning Mis Tasya..”
Sapaan lembut dari belakangnya membuatkan Farisha menoleh.Tangannya yang asyik membelek plastik rojak di kantin terhenti. Kelihatan rakan sekerjanya, Cikgu Azlin sedang tersenyum sambil membimbit buku.
Morning Cik Azlin..amboi-amboi senyum manis pagi-pagi ni..ada pape ke? ” Farisha turut ceria menyakat kawan baiknya itu. Kedua-duanya baru 6 bulan berkhidmat di Sekolah Menengah Parit Batu.
” Manis ke? Aha..mestilah ceria, i nak tuntut janji u semalam..pasal story tu la..jom la duduk-duduk dulu..u ada kelas ke sekarang? ”
” Oh..sekarang tak ada..jap-jap, i ada janji ke? tak ada pun..” Farisha buat-buat lupa. Sengaja mahu menyakat teman baiknya itu.
” Ada la Mis Tasya oi..jangan nak buat lupa pulak..jap ye, i ambilkan air..”
Kedua-duanya kemudian duduk di bangku kantin sekolah.
” Ok sambung. Semalam i cerita pasal hero i bagi bunga masa sukaneka tu kan? Ha..lepas tu macam-macam lagi lah benda merepek dia buat semata-mata nak tackle i. Even i tak pernah layan, tapi i tak boleh bohong diri i yang dalam diam, i memang ada perasaan kat dia..” Farisha rancak bercerita dengan wajah yang berseri-seri. Kisah lima tahun lalu masih segar di ingatannya. Sehingga kini hatinya masih menyayangi Syamsul, walaupun mereka tidak pernah bercinta.
” Cerita u ni best, boleh buat novel..pastu..pastu? ” Azlin begitu seronok mendengar kisah lama kawan baiknya itu. Dalam diam, dia sedikit cemburu. Dia sendiri tidak pernah dihargai sedemikian rupa oleh lelaki yang dia kenal. Sedikit sebanyak hatinya terusik bila Farisha membahasakan lelaki yang meminatinya itu sebagai ‘hero’.
” Ish..merepek. Tapi kan Lin, entahlah, i pun tak faham dengan diri i. Dulu, sebelum masuk Universiti i bertegas tak nak terima dia. Tapi sampai sekarang, dah lima tahun. Bukan tak ada lelaki yang nak kat i, tapi hati i ni langsung tak terbuka untuk diorang. Lagi-lagi, lepas mak dan ayah i meninggal kemalangan tiga tahun lepas. Tinggal i dengan adik i je. Memang tak terfikir lagi untuk terima mana-mana lelaki…”
Wajah Farisha tiba-tiba mendung. Wajah mak dan ayahnya berlegar di ruang mata. Ketegasan ayahnya menjadi penyebab Syamsul terpaksa ditolak, meskipun dia mahu memberi peluang kepada lelaki tersebut. Namun dia akur. Kedua ibu bapanya lebih utama untuk ditaati. Masuk tahun kedua di Universiti, mak dan ayahnya terlibat kemalangan ngeri. Tinggallah dia dan adiknya sahaja. Ketika dia bertungkus lumus belajar, adiknya pula meneruskan perniagaan arwah bapanya di pasar borong. Dalam kesibukan belajar dan berpersatuan, Farisha memang jarang pulang ke rumah, sekaligus menjadikan hubungan dengan adiknya sedikit renggang.
” Tasya..sori kalau i buat u sedih..hm, dah la. kita cerita pasal lain ye? ”
Farisha tersenyum kelat. Wajah Syamsul kembali mengusik benaknya. Lelaki itu memang istimewa, namun dia sekarang entah di mana. Farisha pasrah.

*********
Hari semakin senja. Sebentar lagi akan kedengaran azan maghrib dari surau berdekatan. Kereta Myvi putih dipandu Farisha menyusur halaman rumah banglo dua tingkat itu. Banglo itu adalah rumah warisan arwah ibu dan ayahnya. Setelah tamat belajar dan mendapat pekerjaan sebagai guru, Farisha tinggal di rumah tersebut bersama adik lelakinya.
Farisha melangkah keluar sambil membimbit beg berwarna hitam berisi buku dan fail. Dalam kepenatan, dia tidak sedar adik lelakinya sedang berdiri sambil memerhatikannya di muka pintu.
” Ai..baru balik? Sekolah mana yang kerja sampai maghrib ni? ”
Sindiran tajam tersebut memanaskan hati Farisha, namun tidak dilayan. Dia segera melangkah masuk, namun dihalang adik lelakinya.
” Akak tau tak, sekarang ni dah dekat maghrib. Senja-senja macam ni banyak Syaitan. Akak ni balik waktu-waktu macam ni, nak jadi Syaitan ke? Belajar tinggi-tinggi, tapi kawan dengan Syaitan! ”
Hamburan tersebut membuatkan Farisha hilang sabar.
” Eh akak ni kerja faham tak? Bukan pergi berjoli. Sekolah ke rumah ni bukan dekat, jalan pun sesak. Boleh tak jangan nak sakitkan hati akak? Tepi sikit, akak penat..”
Lelaki tersebut beralih sedikit, memberi ruang kakaknya masuk. Namun riak wajahnya jelas masih tidak berpuas hati. Kebetulan azan maghrib berkumandang. Dia segera mencapai kopiah di atas meja dan melangkah ke surau. Sambil melangkah mulutnya mengomel sendirian.
” Bodoh punya betina..”

******************
Prangg!!
Bunyi pinggan dihempas ke lantai membuatkan Farisha tersentak. Buku latihan yang sedang diperiksa diletak di atas katil. Dari biliknya jelas kedengaran suara adiknya menyeranah dari dapur. Dia bingkas menguak sedikit daun pintu. Suara itu kedengaran lebih jelas.
” Woi pompuan..masak masin macam ni..nak bunuh adik sendiri ke?! Gila!! Bodoh!! Ini bagi anjing makan, bukan orang!! ”
Lutut Farisha menggigil. Daun pintu segera dirapatkan dan dikunci. Tingkah laku adiknya benar-benar di luar jangka. Pernah sekali, dia hampir ditampar lelaki tersebut kerana terlambat menyediakan makan malam. Dia masih ingat kata-kata adiknya malam itu.
” Aku ni lelaki..kau tu pompuan. Aku ni ketua keluarga. Bila mak dan ayah dah meninggal, aku yang ganti tempat ayah kau faham tak? Kau tak belajar agama mana kau tau? Aku ni belajar dah lama kat madrasah tu. Nanti nak kawin kau kena mintak izin aku dulu. Kalau tak kau derhaka..DERHAKA! Kau faham tak ?!! ”
Terketar-ketar Farisha menyediakan makan malam ketika itu. Tidak disangka adiknya tergamak menengkingnya sedemikian rupa. Langsung tiada perasaan hormat kepadanya sebagai kakak. Farisha sendiri bingung, benarkah adiknya perlu ditaati sepertimana dia mentaati arwah ayah? Memikirkan keselamatan dirinya, Farisha selalu mengalah dan membiarkan sahaja sikap kurang ajar adik lelakinya itu.

**************
” Hello Syam..kau ada kat mana skang? ” Suara Faizal kedengaran di hujung talian.
” Yup..aku kat ofis la..mana lagi. Ni tengah setelkan bahan projek sikit..asal? ” Syamsul menjawab acuh tak acuh. Matanya masih tertancap di skrin komputer, menyiapkan power point untuk taklimat persediaan kakitangan baru syarikatnya.
” Peh..bukan main sibuk kau skang..ni, aku nak mintak tolong skit. Aku dapat tender untuk buat pemasangan kat kantin Sekolah Menengah Parit Batu. So kalau boleh nak mintak kau temankan aku ke set, aku ada beberapa benda nak mintak pandangan kau..boleh tak? ”
Syamsul terdiam. Ikutkan hati mahu menolak. Kerja di syarikatnya sendiri berlambak. Bulan ini banyak pula permintaan dari pelanggan untuk buat pemasangan dan pendawaian. Inikan pula hendak tinggalkan kerja sendiri dan turun menolong kerja orang. Namun memikirkan Faizal adalah kawan lamanya, dia serba salah untuk menolak.
” Iyelah..insyaAllah boleh..takat bagi opinion tak ada hal..bila kau nak pergi?”
” Ha..camtu lah kawan. Besok, before 10 pagi aku ambik kau kat ofis..”
” Okeh..”

************************
” Tasha…?”
Syamsul seakan tidak mempercayai matanya. Gadis berbaju ungu yang sedang leka berbual di bangku kantin sekolah itu sangat dikenalinya. Lima tahun berlalu, namun wajah manis Farisha tidak pernah luput di matanya. Segalanya masih segar, ibarat baru semalam dia mengusik dan menyakat gadis tersebut.
” Ha? Apa kau cakap Syam? ” Faizal menjeling hairan. Sedang sibuk dia dan Syamsul berbincang sambil melihat kertas projek, tiba-tiba Syamsul seperti hilang fokus.
” Err..takde..aku cakap tadi, saluran nombor dua ni kena modified skit, nampak rapat sangat dengan saluran nombor empat..” Syamsul terkulat-kulat menjawab, namun fikirannya benar-benar terganggu. Lima tahun berlalu, tidak disangka hari ini dia masih berpeluang bertemu Farisha.
” Eh sekarang pukul berapa Jai? ” Syamsul bertanya sambil matanya masih terarah pada kelibat gadis berbaju ungu.
” Dekat pukul 3..asal, kau ada hal ke? ”
” A’ah..kejap ek…”
Syamsul sendiri tidak tahu dari mana kekuatan tersebut datang. Langkahnya dihayun kemas menuju ke arah gadis berbaju ungu tersebut. Dia yakin, itu memang Farisha, gadis impiannya lima tahun dahulu.
” Ehem..Assalamualaikum..”
” Waalakum….salamm..” Farisha menoleh dan dia benar-benar tidak mempercayai matanya.

**********************
Hampir dua jam mereka berborak. Lima tahun bagaikan terlalu singkat. Dirasakan bagai bagi semalam mereka sama-sama melakar kenangan di Sekolah Menengah Sri Perdana. Meskipun tiada apa yang pernah termeterai antara mereka, namun terbukti masing-masing menyimpan hati antara satu sama lain. Dan pertemuan petang tersebut bagaikan membuka ruang dan harapan yang lebih besar untuk Syamsul dan Farisha.
Pelbagai cerita dikongsi. Farisha rancak bercerita kisahnya di Universiti sehinggalah mendapat pekerjaan sebagai guru bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Syamsul pula sebaik keluar dari Politeknik terus mengusahakan bisnes sendiri, sehinggalah sekarang telah mempunyai syarikat kecil miliknya sendiri. Masing-masing gembira dengan pertemuan tersebut. Meskipun lima tahun itu suatu tempoh yang agak lama, namun keduanya tidak pula merasa janggal atau kekok. Sesekali perbualan mereka diselangi dengan gelak ketawa.
Damm!!!
Meja dihentak kuat.
” Ini kerja akak sampai balik lewat malam? Ha? Duduk berduaan dengan lelaki yang entah sape. Akak tau tak, ni..kat tengah ni ada Setan…SETAN!!! ”
Tengkingan keras itu benar-benar membuatkan keduanya tersentak. Beberapa pelajar yang masih belum pulang menjeling-jeling ke arah mereka. Farisha bingkas bangun.
” Zul!! ”

bersambung..
==================================
part 2-akhir-


” Cikgu Farisha tak ada encik. Dah seminggu dia bercuti. ” Kerani sekolah yang genit itu menjawab sambil tersenyum.
Syamsul mengeluh. Seminggu yang lepas, waktu bertemu dengan Farisha dia tidak sempat meminta nombor telefon gadis tersebut. Hanya kad bisnes sahaja yang sempat dihulurkan. Namun sudah seminggu, gadis tersebut langsung tidak menghubunginya walaupun sekali.
” Er..yeke. Kalau macam tu, boleh tak saya dapatkan nombor telefon Cikgu Farisha? ”
” Minta maaf encik. Kami tak boleh berikan nombor telefon kakitangan sekolah. Ini prosudernya..”
” Oh..em..kalau macam tu tak apalah. Saya minta diri dulu..terima kasih.”
Syamsul melangkah longlai. Harapan baru bersinar namun tiba-tiba terasa gelap. Kejadian minggu lepas benar-benar membuatkannya terkejut. Lelaki berbadan tegap itu muncul secara tiba-tiba dengan sumpah seranah. Tangan Farisha ditarik dengan kasar. Apabila dia hendak bertindak, Farisha tegas menghalang. Farisha menyebut bahawa lelaki itu adalah adik lelakinya. Syamsul benar-benar tidak percaya dengan apa yang dia lihat.
Balik ke rumah dia terus menunggu panggilan dari Farisha. Sekurang-sekurangnya, hantarlah SMS. Hatinya benar-benar rungsing memikirkan nasib gadis tersebut. Ternyata selama ini, masih banyak yang dia tidak tahu tentang Farisha. Akhirnya dia memutuskan untuk mengambil cuti. Hatinya bagai dipanggil untuk pulang ke kampung. Dia mahu bertemu ibu dan ayahnya. Ada perkara penting yang perlu dibincangkan.

*********************

” Tasha..makanla sikit. Dari semalam u tak makan..risau i tau..”
Azlin menyuakan bubur nasi kepada Farisha. Gadis itu masih termenung. Wajahnya pucat dan bibirnya kering. Azlin benar-benar simpati. Hampir seminggu Farisha menumpang di rumahnya, namun Farisha kelihatan belum sedia untuk menceritakan perkara sebenar kepada Azlin. Setiap malam dia mendengar Farisha meracau-racau. Apabila didekati, Farisha menggigil dan terketar-ketar. Azlin tahu, sesuatu yang buruk telah berlaku di malam Farisha datang ke rumahnya.
Bubur nasi dipandang sepi. Farisha berusaha untuk tersenyum pada kawan baiknya itu, namun senyumannya pahit. Apa yang berlaku minggu lepas mendatangkan trauma kepada dirinya. Puas dihalau ingatan tersebut, namun wajah bengis Zul tetap bertandang.

**********************

” Sini kau….sini!! Kau memang sial kan betina..kau nak kena bala ke hah??!!!” Farisha meraung apabila tubuhnya diseret sambil rambutnya ditarik keras. Begitu perit kulit kepalanya diperlakukan demikian. Namun dia tak berdaya melawan kudrat Zul yang terlalu kuat.
” Lepaskan aku..lepas!! Aku ni kakak kau Zul..kau tak boleh buat macam ni…” Farisha merayu dalam jujuran air mata. Sesekali dia menjerit nyaring apabila rambutnya dicekak. Tindakan ganas Zul benar-benar di luar batas kemanusiaan.
” Hei! aku dah lama sabar dengan kau..tau tak?! Aku dalam rumah ni ibarat raja..RAJA!! Kau kena sediakan makan minum aku tepat pada masa. Kau kena taat apa yang aku suruh. Aku ni ketua keluarga!! ”
Tubuh lemah Farisha dihumban ke penjuru dinding.
” Islam dah iktiraf aku sebagai ketua sejak ayah meninggal lagi..takkan kau nak lawan aku?! Kau kena taat aku macam kau taat kat arwah ayah dulu. Kalau kau buat salah, kau kena hukum..macam ni..”
Farisha tersentak. Zul menarik tali pinggang yang melilit pinggangnya. Serta merta tali pinggang kulit itu dilibas ke tubuh kakaknya tanpa belas kasihan. Farisha menjerit namun mulutnya dicekup. Kain tudungnya yang terbuka disumbat kasar ke dalam mulutnya. Zul bersungguh-sungguh mahu menghukum kakaknya. Berpeluh-peluh tubuhnya apabila libasan demi libasan singgah di belakang badan Farisha.
” Kau derhaka dengan Tuhan..Tuhan benci perbuatan kau dengan Setan!! Kau kena terima hukuman ni..supaya dosa kau terhapus..baru aku redha dengan kau!! ”
Libasan berhenti. Zul termengah-mengah. Peluh di dahinya dikesat. Kemudian tersenyum. Hatinya puas apabila hukuman ke atas kakaknya dapat dilaksanakan sendiri olehnya. Dia merasakan tanggungjawabnya tertunai dengan baik.
Farisha tersadai di bucu bilik. Seluruh tubuhnya perit. Mujurlah libasan tersebut tidak mengenai mukanya. Tenaganya benar-benar hilang. Kalau Zul tidak berhenti membelasah dirinya, mungkin saja dia akan pengsan.
” Akak kejap lagi siapkan makan malam ye. Zul naik tukar baju kejap. Nanti kita makan sama-sama…”
Kata-kata Zul membuatkan bulu roma Farisha meremang. Kelopak matanya dibuka sedikit, melihat kelibat adiknya bernyanyi kecil sambil menaiki tangga ke tingkat atas. Tiba-tiba Farisha beroleh satu kekuatan. Dia harus segera bangkit sebelum adiknya turun. Dalam kepayahan dia menggagahkan diri untuk melangkah, mencapai kunci kereta dan memandu terus ke rumah Azlin. Entah dari mana datang kudratnya untuk menekan pedal minyak, sedangkan untuk mengangkat tangan sendiri pun dirasakan cukup lemah.
Sampai ke rumah Azlin, dia tidak mampu bercerita apa-apa. Hampir pengsan Azlin apabila melihat kesan biratan dan koyakan pada kulit badannya. Azlin berkeras mahu mengajaknya ke balai polis, namun Farisha menolak. Farisha bertegas tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Akhirnya Azlin mengalah.

******************

Syamsul tersenyum lega. Berkali-kali dia mengucap syukur kepada Allah kerana mempermudahkan urusannya. Tidak disangka, ibu dan ayahnya begitu terbuka dengan hasratnya mahu mendirikan rumahtangga. Mereka juga bersetuju untuk merisik Farisha sebagai bakal isterinya. Petang nanti Syamsul akan berangkat pulang semula ke bandar. Dia mahu bertemu dengan Farisha dan menyatakan khabar gembira tersebut.
Sebelum pulang, dia sempat singgah di warung Pak Deris. Cendol warisan di warung tersebut memang tidak akan dapat di mana-mana. Sedang leka menikmati cendol, Syamsul disapa dari belakang.
” Assalamualaikum…”
Syamsul menoleh. Terpacul wajah Irman yang hampir 3 tahun tidak berjumpa.
” Waalaikumussalam ya habibi ya maulana..orang tanah arab dah balik…” Terus dipeluk sahabatnya itu sambil mengusik. Sejak Irman menyambung pengajian ke Jordan, baru sekali dia berjumpa iaitu ketika Irman pulang berhari raya 3 tahun yang lepas.
” Bila kau balik? Tak contact aku pun…”
” Baru lagi..saja aku nak buat suprise kat kau Syam. Alhamdulillah, aku dah tamat belajar kat sana…” Irman tersenyum. Wajahnya bersih dengan sejemput janggut menghiasi dagunya. Dia pulang sebagai graduan timur tengah yang berjaya.
” Alhamdulillah..wah..aku tumpang gembira dengan kau Man..ada jugak kawan aku yang jadi ustaz..” Syamsul menatap wajah Irman dalam-dalam. Wajah tersebut begitu mendamaikan. Berkat pengajian ilmu agama barangkali.
” Ish..janganlah macam tu. Aku biasa-biasa je Syam..” Irman merendah diri.
Kedua mereka bersembang pelbagai topik di warung Pak Deris. Dari satu topik melangkah ke satu topik, hinggalah timbul cerita tentang Farisha.
” Eh Man, kau kan dah jadi ustaz.. aku nak tanya skitlah. Betul ke kalau mak ayah dia meninggal, adik lelaki dia akan jadi wali? ”
” Betullah Syam. Islam memang sangat menitikberatkan tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas orang lelaki. Hatta kalau mak dia masih hidup pun, adik beradik lelaki tetap akan menjadi ketua dan pemimpin dalam keluarga..” Irman menjawab sambil tersenyum.
Syamsul mengeluh berat. Lantas kisah pertemuannya dengan Farisha dan tingkah laku adik lelakinya diceritakan kepada Irman. Usai Syamsul bercerita, Irman menggeleng-geleng sambil beristighfar.
” Syam..walaupun Islam mengiktiraf adik lelakinya sebagai ketua keluarga, tetapi itu tidaklah bermaksud dia boleh lakukan apa sahaja. Dalam Firman Allah yang berbunyi ; lelaki adalah pemimpin ke atas kaum wanita itu, maksudnya bukanlah lelaki lebih mulia dan wanita menjadi hina. Tidak. Maksudnya adalah lelaki diberatkan dengan tanggungjawab. Kat akhirat nanti, Allah akan tanya..”
” Tentu sekali Islam memuliakan wanita. Tidak ada satu pun dari ajaran Islam yang membenarkan kekerasan ke atas wanita, termasuk dalam ayat tadi. Cuma umat Islam sahaja yang masih ramai jahil akan hakikat sebenar kepimpinan. Mereka fikir, itu adalah peluang untuk berkuasa dan melakukan apa sahaja…” Irman terhenti dan menoleh ke arah Syamsul. Dia agak ragu-ragu dengan apa yang dia dengar.
” Tapi Syam..aku rasa orang yang normal tak akan buat macam tu..lebih-lebih lagi pada kakaknya sendiri…”
Syamsul mengangguk perlahan. Otaknya ligat berfikir.

**********************

Masuk minggu kedua, Farisha semakin pulih. Dia sudah mampu untuk tersenyum dan berjenaka. Cuti sakitnya juga telah berakhir. Namun Farisha masih takut untuk pulang ke rumahnya. Dia tidak berani untuk berdepan dengan Zul.
Petang itu Farisha dan Azlin duduk di halaman depan rumah. Azlin berusaha mengorek cerita sebenar dari Farisha. Akhirnya, banyak juga yang diluahkan oleh Farisha kepadanya.
” I dulu tak rapat sangat dengan adik i, Zul tu. Waktu dia naik sekolah menengah, arwah ayah hantar dia ke madrasah agama. Dia tinggal kat asrama. Jarang-jarang sekali, waktu cuti, baru bertemu mata. Itu pun tak banyak bercakap.Buat hal masing-masing…” Farisha mengeluh. Dia sedar silapnya mengabaikan perhatian ke atas Zul ketika sibuk di Universiti dahulu.
” Lin..sebenarnya, i ada col mak ngah i dua hari lepas..”
Azlin khusyuk mendengar. Farisha pernah menceritakan padanya, bahawa pak ngah dan mak ngahnya pernah duduk bersama Zul di banglo tersebut selepas kematian ibu dan ayahnya. Namun tidak pula diketahui kenapa mereka tidak lagi mahu tinggal di banglo tersebut.
” I desak mak ngah i ceritakan perkara sebenar..rupanya, waktu mereka tinggal dengan Zul, pak ngah pernah hampir dibelasah kerana menegur sikap Zul yang panas baran. Mak ngah cakap..Zul lempar pasu bunga kat pak ngah..mujurlah sempat dielak. Lepas tu, mak ngah dan pak ngah tak sanggup lagi nak jaga Zul..”
Azlin menggeleng kepala. Di matanya, Zul seolah bukan manusia. Tiada hati perut dan tiada perasaan, walaupun pada saudaranya sendiri. Namun dia sendiri tidak pasti apa sebab utama Zul berubah menjadi sedemikian.
” Habis apa u nak buat sekarang? ”
Belum sempat Farisha menjawab, sebuah kereta meluncur masuk ke halaman dan berhenti betul-betul di hadapan mereka. Pintu dibuka dan seorang pemuda lewat 20-an keluar sambil tersenyum.
” Syam..? ” Farisha terperanjat melihat kemunculan Syamsul di situ.
” Macam mana awak tau rumah ni….”
” Alah Tasya, dunia ni bukan kecik mana pun…” Syamsul tersenyum nakal. Serta merta Farisha memandang Azlin. Azlin pula buat-buat tidak tahu. Hatinya puas apabila dapat menghubungi Syamsul melalui kad bisnes dari dompet Farisha. Kepada lelaki tersebut diceritakan segala yang berlaku dan Syamsul bertekad untuk melakukan sesuatu.
” Jom bersiap Tasya..”
” Ha? Nak ke mana? ” Farisha bingung.
” Balai Polis..” Syamsul menjawab tegas.

***********************
Deringan lagu nasyid yang dijadikan ringtone telefon bimbitnya membuatkan Farisha berhenti menaip. Nama Syamsul tertera di skrin. Punat hijau segera ditekan.
” Assalamualaikum..” Lembut suara Syamsul di hujung talian.
” Waalaikumussalam..” Farisha tersenyum mendengar suara Syamsul. Sejak lelaki itu hadir, dirinya berasa sangat selamat.
” Saya col kejap je ni. Nak bagitau tentang perbincangan mak ayah saya dan pak ngah awak. Alhamdulillah, tarikh dah ditetapkan hujung bulan depan. Hm, bertunang terus kahwin. Mereka cakap tak elok lama-lama..Saya pun setuju jelah…” Jelas kedengaran girang suara Syamsul.
” Ish..kalau ye pun kontrol la sikit..awak ni. Hm, Alhamdulillah. Terima kasih Syam. Tiada apa yang saya harapkan sekarang. Saya hanya nak tempuh hidup yang aman dan selamat..” Suara Farisha merendah. Dia terkenangkan Zul.
” Tasya…” Syamsul teragak-agak untuk memberitahu.
” Saya dah hubungi IO kes Zul ni..pihak polis dah buat soal siasat. Sebenarnya, Zul ada masalah jiwa ketika di madrasah agama dahulu. Dia pernah menjadi mangsa buli dalam tempoh yang agak lama. Dari situ, dia memberontak, lebih-lebih lagi apabila mak dan ayahnya meninggal. Sifat ingin melindungi dan enggan dibuli itu menjadikan dirinya sedemikian..”
” Kemudian..saya usaha dapatkan alamat madrasah si Zul tu dulu. Sempat saya berjumpa dengan pengetua madrasah tersebut. Dia ceritakan kat saya kisah Zul yang menjadi mangsa buli. Lepas kes tersebut, dia jadi agresif dan selalu bertindak luar kawal. Tapi perkara ni arwah mak dan ayah awak tahu, cuma mungkin mereka tak ceritakan kat awak..”
Syamsul terdiam seketika, kemudian menyambung.
” IO tersebut bagitau..Zul akan dihantar ke pusat pemulihan..kita doakan jelah yang terbaik untuk dia..ye Tasya? ”
Farisha membisu. Terlalu banyak perkara tentang adiknya yang dia tidak tahu. Perlahan-lahan, air matanya mengalir lagi. Dia akui kasih sayang kepada saudara kandungnya itu tetap utuh. Namun untuk melupakan, dia perlukan sedikit masa. Dia sendiri berharap agar trauma itu segera hilang.
” Terima kasih Syam..”
Hanya itu yang terluah dari bibirnya. Dalam tenang, dia redha dengan percaturan Tuhan. Allah datangkan ujian untuk mematangkan kita tentang erti sebenar sebuah kehidupan. Itulah tanda sebuah kasih yang tiada bandingan.
-TAMAT-

No comments:

Post a Comment